fbpx

Waktu puncak operasi rel dan bas ditambah sejam bermula Jumaat – Prasarana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Operasi rel dan bas di bawah kendalian Rapid KL akan dilanjutkan waktu puncak pagi dan petang bermula Jumaat ini hingga Selasa depan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Menerusi satu kenyataan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) berkata, waktu puncak pada hari bekerja sepanjang tarikh tersebut akan ditambah satu jam pada sebelah pagi dan petang.

Jelas kenyataan itu, sebelum ini waktu puncak pada hari bekerja biasa adalah dari pukul 7 pagi hingga 9.30 pagi dan 5 petang sampai 7.30 malam.

“Sempena Sidang Kemuncak ASEAN, waktu puncak adalah bermula pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi dan 4.30 petang sampai 8 malam,”kata kenyataan itu.

Tambah Prasarana, kekerapan operasi tren akan dikurangkan antara empat hingga lapan minit pada hari Sabtu dan Ahad bagi menampung bilangan penumpang yang dijangka bertambah pada minggu ini.

Mengulas lanjut kata kenyataan itu, empat laluan bas dan Rapid KL On-Demand dijangka mengalami kelewatan jadual perjalanan susulan penutupan jalan secara berperingkat.

Antara laluan terlibat termasuklah Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) dan Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa – Chow Kit).

“Pengguna bas yang ingin menuju ke KLCC dan kawasan sekitarnya disaran untuk menggunakan perkhidmatan rel bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Antara stesen rel yang boleh digunakan termasuk Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), Stesen Conlay (Laluan Putrajaya) dan Stesen Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL),” katanya.

Justeru kata Prasarana, penumpang disarankan agar merancang perjalanan lebih awal, memantau notifikasi terkini melalui media sosial rasmi Rapid KL atau memuat turut aplikasi PULSE.

“Pengguna juga boleh mempertimbangkan penggunaan alternatif seperti perkhidmatan rel bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI