IPOH – Waris mangsa nahas trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani sesi kaunseling dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad, biarpun begitu, kesemua waris sembilan mangsa yang maut akibat kemalangan di Jalan Chikus-Sg. Lampam di Teluk Intan minggu lalu itu akan terus memberikan bantuan sokongan tersebut.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersedia menawarkan sokongan kaunseling pada bila-bila masa untuk keluarga mangsa dengan bantuan itu sebelum ini telah pun dilaksanakan terhadap semua waris yang terlibat bersama agensi dan kementerian yang berkaitan.
“JKM dari awal lagi sudah berada di lapangan kerana kita ada kaunselor untuk mendampingi mereka (waris mangsa) bahkan bantuan awal JKM bernilai RM300 telah disampaikan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke rumah keluarga mangsa di FRU Unit 5, Sungai Senam di sini.
Pada lawatan berkenaan, Noraini melalui Yayasan Kebajikan Negara menyumbang bantuan Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN) RM1,000 kepada waris anggota FRU yang terlibat nahas itu.
Mengulas tentang lawatan itu, beliau berkata, pihaknya mahu melihat keadaan serta emosi waris-waris tersebut termasuklah mangsa yang mengalami kecederaan ekoran kemalangan itu.
Beliau berkata, kaunselor kementerian juga masih mengadakan lawatan terhadap mangsa yang berada di hospital dan khidmat mereka akan terus ditawarkan dan tidak terhenti sekatat ini. – KOSMO! ONLINE