PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pulau Langkawi untuk bersama-sama menjayakan penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Beliau berkata, penganjuran LIMA’25 mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama teknologi maritim dan aeroangkasa di rantau ini serta di peringkat global.
“Selain mempamerkan aset dan teknologi pertahanan, LIMA’25 juga menjadi platform penting bagi menjalin kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri.
“Mendoakan agar segala urusan sepanjang penganjuran LIMA’25 dipermudahkan dan pameran ini menjadi satu edisi yang bermakna dan berjaya, Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di sini hari ini.
LIMA pada tahun ini akan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei di Langkawi.
Pameran edisi ke-17 ini diselenggara secara bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions & Conferences Sdn. Bhd.. – KOSMO! ONLINE