KUCHING – Seramai 42 gadis dan tiga lelaki warga Indonesia serta seorang wanita Filipina ditangkap dalam serbuan Ops Gegar di tiga buah pusat hiburan di Serian, Bau dan di sini pada 17 dan 18 Mei lalu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berkata, kesemua warga asing itu ditahan menerusi serbuan yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas (PTK) JIM Sarawak.
“Semasa operasi dijalankan, terdapat cubaan oleh individu yang diperiksa untuk meloloskan diri. Mereka cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran premis, namun usaha mereka berjaya digagalkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah penyalahgunaan pas lawatan, tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa dari tempoh pas yang dibenarkan.
Kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, pemilik premis terbabit juga dikenakan tindakan dengan diberi notis saman kepada saksi untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE