PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE) sudah disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia sekali gus menafikan tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan SOP REE dilengahkan seoalah-olah berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, ia dengan niat bagi menghalang kemajuan negeri-negeri di bawah gagasan empat negeri Perikatan Nasional (SG4).
“SOP ini merangkumi panduan lengkap daripada sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan.
“SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada dan disusun untuk membolehkan kerajaan negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kata Nik Nazmi, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, kementerian turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan kawasan rizab perlindungan. – KOSMO! ONLINE