ISKANDAR PUTERI – Seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, di sini dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, laporan kehilangan Nur Iman Iskandar Abdullah, 15, dibuat bapanya yang berusia 36 tahun kira-kira pukul 4 petang pada hari sama di Balai Polis Taman Bukit Indah, di sini.
Katanya, remaja lelaki yang dilaporkan hilang itu dipercayai berselisihan faham dengan keluarga sebelum ini.
“Kali terakhir Orang Hilang (OH), Nur Iman Iskandar berpakaian baju Melayu kerana baru lepas jamuan hari raya di sekolah, dipercayai berlaku selisih faham antara remaja lelaki itu dengan keluarga.
“Nur Iman Iskandar mempunyai ketinggian 153 sentimeter (cm), dengan berat badan lebih kurang 50 kilogram. Selain berkulit sawo matang dan berbadan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Izra Syamir Iruan di talian 013-9052230 atau Pusat Kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 @ hotline 075114486.-KOSMO! ONLINE