MARSEILLE – Penyerang sensasi Olympique Marseille, Mason Greenwood berkongsi rekod penjaring terbanyak Ligue 1 bersama Ousmane Dembele selepas membantu pasukan menang 4-2 ke atas Rennes pada aksi terakhir awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Velodrome itu, Greenwood berjaya meledak dua gol sekali gus menyamai status penjaring terbanyak Ligue 1 musim ini dengan 21 jaringan bersama Dembele yang turut cemerlang dengan skuad Paris Saint-Germain (PSG).
Bagaimanapun, Greenwood tidak akan diberikan Anugerah Kasut Emas kerana Ligue 1 memiliki peraturan bahawa jika kedudukan penjaring terbanyak terikat, pemain yang meledak gol penalti paling sedikit akan ditabal sebagai pemenang.
Situasi ini menyaksikan Dembele telah diberikan Anugerah Kasut Emas selepas hanya menjaringkan satu penalti, manakala Greenwood menjaringkan tujuh penalti musim ini.
Bekas pemain Manchester United itu memberi jaminan untuk kekal bersama Marseille pada musim depan selepas membantu pasukan layak ke Liga Juara-Juara (UCL) dengan berada di kedudukan kedua.
“Saya gembira dapat membantu pasukan mencapai objektif. Ini adalah stadium keramat kami dan saya tidak sabar untuk merasai suasana bersaing dalam UCL di sini musim depan,” katanya.
Pemain kelahiran England itu masih boleh berbangga apabila memecah rekod pemain legenda Marseille, Bafetimbi Gomis (20 gol) dan Didier Drogba (19 gol) dengan menjaringkan gol terbanyak pada musim debut pertama bersama pasukan.
Namun, Greenwood masih belum boleh mengatasi rekod sepanjang zaman yang dilakar oleh Alen Boksic yang meledak 22 gol pada musim 1992/93. – AGENSI