MANCHESTER – Legenda Manchester United, Roy Keane sudah tidak dapat membendung rasa geram selepas menyaksikan pasukan itu bergelut dan menghuni tangga ke-16 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Beliau menganggap tiga pemain United termasuk Rasmus Hojlund, Kobbie Mainoo serta Alejandro Garnacho tidak layak untuk menyarung jersi pasukan itu dan menggesa ketiga-tiga pemain dijual pada jendela perpindahan nanti.
Ketiga-tiga pemain itu gagal menampilkan aksi diharapkan ketika mereka tewas 0-1 kepada Chelsea yang menyaksikan mereka masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan liga berturut-turut.
“Secara jujur, saya tidak akan menyimpan ketiga-tiga pemain ini. Saya melihat permainan Mainoo berdepan Chelsea, dia hanya berlari tanpa hala tuju selain tidak mampu melakukan hantaran yang baik.
“Garnacho pula seperti pemain yang tidak matang walaupun ada beberapa kali mempamerkan aksi baik. Bagi saya, ia masih belum mencukupi, terutamanya apabila bermain untuk pasukan seperti United,” katanya.
Sementara itu, Hojlund merupakan pemain yang paling teruk dikritik Keane apabila beliau menyifatkan United seolah-olah bermain tanpa penyerang setiap kali pemain Denmark itu diturunkan.
“Mereka sebenarnya tidak ada penyerang dalam pasukan. Dia (Hojlund) bermain seperti budak sekolah apabila langsung tidak mampu melakukan larian selain gagal berada di posisi yang betul,” ujar Keane. – AGENSI