MIRI – Penyanyi Hafiz Suip terpaksa menarik diri daripada mengadakan persembahan pada Konsert MeleTOP TVS di Miri di Stadium Tertutup Bandaraya Miri di sini, hari ini dipercayai disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya sejak semalam.
Perkara tersebut diumumkan hos acara, Nabil Ahmad yang memaklumkan Hafiz atau nama penuhnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip yang sepatutnya mendendangkan tiga buah lagu pada acara tersebut tidak dapat tampil ke pentas hari ini.
“Dengan dukacita, kami daripada pihak MeleTOP dan TV Sarawak (TVS) ingin memaklumkan Hafiz tidak dapat bersama dengan kita hari ini.
“Maafkan kami kerana beliau mengalami masalah kesihatan. Semoga Hafiz segera sembuh,” katanya.
Difahamkan, Hafiz juga tidak menghadiri sesi latihan konsert tersebut hari ini atas disebabkan masalah kesihatan tetapi tidak memperincikan punca utama sehingga kini.
Semalam, pelantun lagu Awan Nano itu menerusi satu hantaran media sosial mengesahkan dirinya berdepan masalah kesihatan iaitu batu karang dalam buah pinggang.
Perkongsian tersebut disertai video yang memaparkan Hafiz sedang menjalani prosedur perubatan termasuk menerima suntikan.
Mengangkat warisan kebudayaan Borneo sebagai tema, Konsert MeleTOP TVS menggabungkan kebudayaan tradisional tempatan dan juga budaya pop masa kini.
Konsert kerjasama Astro dan TV Sarawak (TVS) itu turut diserikan dengan persembahan artis hebat seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Stacy, Floor 88 & Namie, Dolla dan Sada Borneo.
Acara yang julung kali diadakan itu diacarakan oleh gandingan pengacara MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana dan juga pengacara TVS, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh. – KOSMO! ONLINE