KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin menghampiri gelaran kedua musim ini selepas mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok.
Pada aksi separuh akhir di Stadium Nimibutr hari ini, bekas juara dunia itu memerlukan 38 minit sahaja untuk menewaskan beregu Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-13.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan No. 5 dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk membenam Kittinupong-Dechapol walaupun beraksi di hadapan penyokong-penyokong tuan rumah.
Kemenangan itu pastinya memberikan suntikan semangat buat Aaron-Wooi Yik, terutamanya selepas mereka tewas kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam aksi peringkat kumpulan Piala Sudirman di Xiamen, China pada April lalu.
“Walaupun menang straight set tetapi perlawanan agak mencabar, terutamanya ketika mereka mendahului di set pertama. Tuah memihak kami apabila kembali mendapatkan momentum sebenar.
“Saya harap begitulah (raih gelaran) tetapi paling penting adalah menikmati setiap perlawanan. Bagi kami, menang atau kalah adalah perkara kedua,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sekiranya membawa pulang gelaran Jelajah Dunia Super 500 itu, ia mampu memberi lebih keyakinan kepada mereka menjelang Malaysia Masters berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula Selasa ini.
Gelaran Terbuka Thailand bakal menjadi kejuaraan kedua Aaron-Wooi Yik untuk saingan musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China bulan lalu.
Terdahulu, mereka juga baru sahaja dinobatkan Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 minggu lalu atas kejayaan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024. – KOSMO! ONLINE