KUCHING – Permohonan pertukaran guru yang boleh dibuat selepas dua tahun berkhidmat merupakan antara berita gembira yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sempena sambutan Hari Guru hari ini.
Menurut Fadhlina, langkah itu merupakan antara penambahbaikan yang dilakukan kementerian terhadap sistem e-GTukar yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan warga pendidik kerana tempoh menunggu untuk berpindah dianggap terlalu lama.
“Ini adalah antara reformasi dasar yang paling ditunggu-tunggu oleh warga pendidik.
“Kita dengar suara mereka yang terpisah daripada keluarga, berjauhan dengan anak-anak dan kita ambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini hari ini.
Selain itu, Fadhlina turut mengumumkan pelantikan 1,470 pembantu guru di bawah program My Digital Guru (MyDG) yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih bagi membantu meringankan beban tugas guru.
Pada masa sama, katanya, seramai 32 guru terpilih akan dihantar mengikuti program Inovasi Global untuk Guru Masa Depan (GIFTS) ke United Kingdom sebagai pengiktirafan kepada warga pendidik yang cemerlang.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan turut memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk membiayai kursus jangka pendek luar negara bagi guru-guru meningkatkan kemahiran dan profesionalisme.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan diskaun tiket penerbangan sebanyak 20 peratus ke semua destinasi domestik menerusi portal khas MH GoM untuk warga pendidik serta pemberian baucar buku. – KOSMO! ONLINE