KUALA LUMPUR – Padah mengaibkan wanita dengan cara meletakkan gambar ‘sebelum dan selepas’ bersolek ketika siaran langsung di TikTok, seorang pembantu kedai didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Nurul Hidayah Yusuf, 23, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Sekiranya gagal membayar denda, gadis itu boleh dipenjara selama dua hari. Tertuduh menbayar denda tersebut.
Nurul Hidayah didakwa mengaibkan mangsa berusia 23 tahun dengan cara meletakkan gambar wanita itu sebagai imej latar belakang pada siaran langsung di TikTok dan membuat perbandingan muka sebelum dan selepas bersolek tanpa kebenaran.
Kesalahan dilakukan di sebuah kondominium di Sentul pada pukul 10.51 pagi, 5 April lalu. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Semasa prosiding, Nurul Hidayah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia telah dibuang kerja.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh.
Mengikut fakta kes, mangsa menerima kiriman WhatsApp daripada rakannya iaitu rakaman skrin (screen recording) siaran langsung TikTok yang dibuat tertuduh.
Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana berasa aib dengan tindakan tertuduh yang meletakkan gambarnya sebagai imej latar belakang dan membuat perbandingan muka pengadu sebelum dan selepas bersolek. – KOSMO! ONLINE!