PUTRAJAYA- Amal by Malaysia Airlines (Amal), cabang khusus haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG) akan memperluas perkhidmatannya ke beberapa buah negara rantau.
Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor berkata, pihaknya merancang untuk memperluas operasi sewa khas pesawat itu ke Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura.
Menurut beliau, selain memerkukuhkan operasi di Malaysia, pihaknya ada rancangan untuk memperluaskan operasi di luar negara terutama di negara jiran.
“Aspirasi kami pertama adalah mahu mengembangkan pasaran di Malaysia dan kedua kami mahu menceburi pasaran di rantau ini.
“Sebenarnya kita sudah mula (mulakan perluasan operasi) dengan apa yang dipanggil sebagai ‘dedicated connectivity’ (penerbangan sambungan) untuk Indonesia sebagai langkah awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Amal dan 13 syarikat pengendali umrah tempatan di sini hari ini.
Muhammad Najmi menjelaskan, bagi musim umrah 1447H, pihaknya memperuntukkan 200,000 tempat duduk yang mana 50 peratus diperuntukkan untuk 13 syarikat pengendali umrah tempatan dan bakinya untuk jemaah luar negara.
Muhammad Najmi berkata, pihaknya melihat pergerakan jemaah umrah ke Tanah Suci meningkat setiap tahun dan ia satu peluang buat Amal untuk memperluas operasi itu.
“Kita bukan hanya mahu berkembang di Malaysia tapi dirantau ini,” katanya. – K0SMO! ONLINE