SUBANG JAYA – Tindakan segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di bahagian bumbung bagi mengelak ditahan, gagal apabila dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Pasar Moden SS15, di sini hari ini.
Rata-rata mereka yang bekerja di pasar basah dengan menjual ikan dan ayam serta premis makanan di tingkat atas bangunan itu turut meninggalkan perniagaan mereka bagi melarikan diri.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 80 individu diperiksa dalam serbuan bermula pukul 11.15 pagi.
“Daripada jumlah tersebut, 38 individu ditahan terdiri daripada 27 lelaki dan 11 wanita membabitkan warga Indonesia, India dan Myanmar.
“Ketika serbuan, ada individu yang cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh pegawai JIM,” katanya selepas operasi selesai dijalankan.
Khairrul Aminus berkata, kesemua warga asing berusia antara 17 hingga 53 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.
Tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi mendapati suasana turut bertukar kecoh apabila seorang majikan warga tempatan tidak berpuas hati apabila salah seorang pekerjanya ditahan.
Wanita berusia 60-an itu turut didakwa memberikan isyarat kepada pekerjanya untuk melarikan diri ketika serbuan dijalankan.
Situasi itu yang berlarutan sehingga menyebabkan pertelingkahan bagaimanapun, berjaya dikawal oleh pegawai JIM di lokasi serbuan. – KOSMO! ONLINE