JAKARTA – Seorang penunggang teksi motosikal (ojol) menjadi perhatian pengguna media sosial apabila dia memaksa pelanggan memberikan rating lima bintang kepada perkhidmatannya, lapor laman berita Lambe Turah hari ini.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, lelaki tersebut dilihat mengekori pelanggan sehingga ke pintu rumah bagi memastikan dia diberikan rating lima bintang.
Dia dilihat menunggu pelanggan memberikan rating sambil memerhati tajam ke arah pelanggan.
Disebabkan enggan terus diganggu, pelanggan tersebut berpura-pura memberikan lima bintang sedangkan dia hanya memberikan satu bintang.
Bagaimanapun, penunggang ojol itu kembali sekali lagi ke rumah pelanggan berkenaan dan memarahinya menggunakan kata-kata kesat kerana berang diberikan rating teruk.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen, dengan ada yang menyokong serta mengkritik sikap pelanggan itu.
“Mereka perlukan bintang untuk terus mendapat pesanan supaya boleh memberi anak dan isteri makan. Walaupun sikapnya menyakitkan hari, janganlah sampai memberikan satu bintang sahaja,” kata seorang netizen.
“Kalau perkhidmatannya bagus, belum sempat mereka minta pun kita sudah berikan rating lima bintang,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI