fbpx

Anak gajah mati di Gerik bukan gajah sama jatuh longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laporan Kosmo! pada 5 Julai 2024 berhubung anak gajah yang diselamatkan selepas terjatuh dalam longkang. (Gambar kecil: Yusoff)

GERIK – Anak gajah jantan yang dilaporkan mati selepas dilanggar lori muatan ayam di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini semalam, bukan haiwan sama yang terjatuh ke dalam longkang Julai tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, berdasarkan siasatan, lokasi kedua-dua haiwan itu ditemui adalah pada jarak yang jauh.

Malah katanya, anak gajah yang mati itu juga tidak dipasang dengan kolar penjejak (cip) seperti mana anak gajah yang diselamatkan di Batu 13, JRTB dekat Jeli, Kelantan.

“Bukan, semalam anak gajah yang lain. Anak gajah yang terjatuh ke dalam longkang itu kita ada pasang cip,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Julai lalu, video tular memaparkan operasi menyelamatkan anak gajah yang jatuh ke dalam longkang mencuri tumpuan apabila ibu kepada anak gajah itu dilihat tidak berganjak dari lokasi dan sabar menanti kerja-kerja menyelamatkan anaknya selesai.

Sementara itu mengulas mengenai video tular yang memaparkan perlakuan gajah betina yang dikatakan cuba ‘menolak’ kenderaan berat itu, Yusoff menyifatkan ia sebagai usaha mamalia tersebut untuk menyelamatkan anaknya.

“Gajah itu mahu selamatkan anaknya sebab tahu anaknya berada di bawah lori dan mahu pergi (dari lokasi) bersama-sama. Gajah antara haiwan yang bersifat pelindung. Ada sebahagian haiwan, apabila terjadi sesuatu pada anaknya, ia akan tinggalkan tapi gajah tidak, akan tunggu,” ujar beliau.

Tambah Yusoff, Perhilitan mempunyai pasukan yang akan membuat rondaan dan pemantauan di sekitar JRTB bagi menghalau masuk haiwan liar itu ke dalam hutan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI