KUALA LUMPUR – Pemandu pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan membabitkan pasangan suami isteri di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta, Sabtu lalu, disahkan bukan pemilik kenderaan yang dipandunya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
“Proses sambung reman masih dijalankan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, berhubung keadaan pembonceng motosikal berkenaan ketika ini, beliau berkata wanita berkenaan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh.
“Setakat semalam keadaan mangsa masih di wad ICU dan dalam rawatan rapi pihak hospital,” jelasnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan, sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta, pada kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali.
Isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. – KOSMO! ONLINE