fbpx

Angkara PKP, ‘dream wedding’ Neelofa musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NEELOFA

WANITA ini merupakan individu yang mempunyai bilangan pengikut Instagram paling ramai di Malaysia dengan 8.4 juta pengikut. Tentunya, besar tanggungjawab dan pengaruh yang tergalas di bahunya untuk terus menjadi asbab membawa debunga kebaikan kepada orang ramai.

Waktu berputar, 10 tahun mengerah tenaga dalam dunia seni yang penuh dengan sepak terajang mematangkan, Neelofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd. Noor kini tidak lagi menoleh belakang. Seperti kata orang Inggeris, ‘with great power comes great responsibility’, barangkali itu antara pegangan positif buatnya dalam terus mendepani kehidupan.

Kalendar 2021 membuka satu lagi lembaran baharu buat dirinya. Neelofa menerusi syarikat Noor Luminous Sdn. Bhd. melancarkan aplikasi gaya hidup Islamik perdana dikenali sebagai TheNoor, baru-baru ini.

Menariknya, aplikasi yang dilengkapi pelbagai ciri-ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat dan lokasi masjid berdekatan turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa berbeza iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia.

TheNoor global

Memilih untuk meneroka bidang pembangunan digital sebagai cabang bisnes baharu, Neelofa selaku Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn. Bhd., berkata, TheNoor merupakan aplikasi ‘semua dalam satu’ yang mampu memenuhi keperluan gaya hidup Muslim di seluruh dunia.

NEELOFA membuka jendela 2021 menerusi pelancaran aplikasi TheNoor yang menawarkan kemudahan bagi memenuhi keperluan gaya hidup Muslim di seluruh dunia.

“Selain menggalakkan orang ramai untuk lebih celik teknologi maklumat (IT), pembangunan aplikasi TheNoor yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik bagi masyarakat Muslim juga dapat menjadi ‘pembantu’ maya untuk kita melaksanakan tugas harian dengan mudah dan pantas.

“Kami juga merancang menambah bahasa lain seperti bahasa Turki, Perancis, Sepanyol, Urdu dan Hindi pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, selepas lebih enam bulan merancang, kami dengan bangganya melancarkan aplikasi TheNoor yang boleh dinikmati oleh semua masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya tentang pengalaman ketika merakam keseluruhan terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu, Neelofa menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang sukar diungkap dalam bentuk kata-kata.

MENCERITAKAN pengalaman merakam terjemahan al-Quran, Neelofa mengakui dia kehilangan kata-kata untuk menggambarkan perasaan tenang yang terbit dalam hatinya.

“Proses rakaman untuk menyiapkan semua terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu mengambil masa sekitar 20 hari. Saya peruntukkan paling maksimum dua juzuk sehari untuk merakam terjemahan.

“Saya masih ingat setiap kali proses rakaman, hati pasti tersentuh apabila membaca berulang kali kalimah Allah. Satu perasaan yang sukar untuk saya jelaskan.

“Saya boleh katakan, ini pengalaman yang cukup bermakna dan luar biasa. Setiap kali saya baca terjemahan al-Quran, dapat dirasakan ada penambahbaikan dalam iman. Usai rakaman, hati saya pasti berasa tenang serta lega,” katanya.

Selain Neelofa, Noor Luminous Sdn. Bhd. turut diterajui oleh Ketua Pegawai Teknologi, Mohd. Izzairi Yamin.

Aktiviti seni ‘on hold’

Menyentuh tentang perjalanan kariernya yang dilihat seperti sudah berkubur sejak memutuskan untuk berniqab Oktober tahun lalu, Neelofa mengakui dia belum terbuka hati untuk aktif semula dalam dunia hiburan walaupun dihujani tawaran.

Ulas Neelofa, dia terpaksa menolak kerana berasakan belum tiba masanya untuk kembali aktif.

BELUM terfikir untuk kembali aktif dalam dunia hiburan, Neelofa meminta ruang untuk dirinya bersedia sebelum membuat kemunculan kelak.

“Dalam hati ada timbul tanda tanya, bagaimana seorang perempuan berniqab muncul dalam saluran premium pada waktu perdana. Pihak stesen televisyen memang mengharapkan saya terima tawaran itu.

“Bagaimanapun, saya tolak dengan cara baik dan minta masa untuk fikir dahulu. Saya terima tawaran berkenaan sekitar dua bulan terakhir tahun lalu tetapi waktu itu memang tidak mengizinkan kerana banyak perkara yang perlukan saya selesaikan,” ungkapnya.

MESKIPUN sedih kerana perkahwinan impiannya hancur kerana PKP, bagaimanapun Neelofa berjanji akan berkongsi tentang perincian hari bahagianya bersama PU Riz kelak.

Mantan pengacara MeleTOP itu juga menyifatkan kerjaya hiburannya sekarang berada pada fasa ‘on hold’.

“Kalau ada pun (program TV yang melibatkan dirinya), saya tak nak ‘kosong’. Saya mahu ada pengisian sebelum kembali muncul dalam televisyen.

“Kalau berlakon semula atau melibatkan hal-hal berkaitan, saya tidak terfikir pun buat masa sekarang,” katanya.

Perincian kahwin

Dilayangkan pertanyaan tentang majlis kahwinnya dengan PU Riz yang dijadualkan berlangsung Mac depan, Neelofa berkata, dia akan berkongsi mengenainya dalam masa terdekat.

Dia percaya bukan majlis perkahwinan impiannya sahaja hancur atau terpaksa dikorbankan gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun orang lain juga berdepan situasi sama.

“Semua pasangan ada ‘dream wedding’. Saya percaya ramai yang terpaksa korbankan hal ini sebab situasi sekarang sangat tidak mengizinkan.

“Saya sendiri sudah berbincang juga dengan perancang perkahwinan, disebabkan pandemik dan kes yang masih tidak surut-surut, banyak perkara yang terpaksa dikorbankan. Insya-Allah, kita buat apa yang boleh sahaja.

SAMA seperti orang lain, Neelofa juga ada perkahwinan impian. Namun terpaksa mengorbankan keinginan hati berikutan sedar situasi negara yang tidak mengizinkan majlis besar diadakan ketika ini.

“Secara amnya, semua ‘dream wedding’ pasangan bakal suami isteri hancur sebab memang tak boleh buat apa kerana Covid-19,” katanya.

Menjawab desas-desus sama ada perkahwinannya akan berdepan kemungkinan untuk dipercepatkan, dia sendiri belum punya jawapan untuk hal berkenaan.

“Saya akan kongsi dalam masa terdekat. Dengan keadaan sekarang, banyak perkara yang terhad. Saya sendiri cuba mendapatkan kepastian dengan menghubungi beberapa pihak sama ada sesuai atau tidak untuk mengadakan majlis.

“Banyak perkara yang masih belum jelas. Hubungan saya dengan Riz bagaimanapun semakin baik dan positif. Alhamdulillah. Saya akan kongsi, jangan risau,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI