GUA MUSANG – Seorang bapa Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Simpor sini sebak apabila menerima MyKid bayi lelakinya yang sudah meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.
Shaari Asip, 36, berkata, bayi lelakinya, Usna Daffa yang berusia lima bulan meninggal dunia pada 24 April lalu selepas muntah dan cirit birit kerana tidak sempat menerima rawatan di hospital.
Katanya, sebelum kejadian, Usna Daffa sakit teruk secara tiba-tiba sepanjang hari sehingga tidak sedarkan diri.
“Wakil penduduk sudah memohon bantuan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa anak ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan.
“Belum sempat helikopter tiba di Pos Simpor, anak saya sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia. Jadi, helikopter bomba berpatah semula sebelum membawa bayi ke hospital Gua Musang untuk pengesahan kematian,” katanya.
Shaari berkata demikian selepas menerima MyKid anak perempuannya yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara pada Program Kembara Mesra Rakyat, di Pos Simpor hari ini.- KOSMO! ONLINE