PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah akan ditubuhkan bagi menyelaras aspek pendaftaran, pembangunan kurikulum serta kebajikan guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dipersetujui menerusi mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu demi memastikan penyampaian pendidikan prasekolah yang berkualiti, selamat dan teratur.
“Satu kertas cadangan akan diangkat ke Jemaah Menteri mengenai pelan hala tuju pendidikan awal kanak-kanak yang lebih tersusun dan berpaksikan kualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata, satu pasukan petugas (taskforce) akan turut ditubuhkan bagi menangani kebejatan sosial dalam kalangan pelajar tercicir.
Ini termasuk menangani isu penyalahgunaan dadah dan cabaran sosial lain yang memerlukan tindakan rentas agensi yang segera dan bersasar.
Berkaitan isu kanak-kanak di bawah pengurusan GISB Holdings pula, mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan langkah penyelarasan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan institusi agama negeri bagi memastikan kesejahteraan 560 orang kanak-kanak yang telah diselamatkan.
“Aspek pemantauan, perlindungan dan kebajikan anak-anak ini akan terus diperkukuh, sejajar dengan hak mereka sebagai pewaris masa depan negara.
“Sebanyak RM1.2 juta telah diperuntukkan untuk menyokong program pembangunan jati diri, advokasi keibubapaan dan pemulihan spiritual yang komprehensif bagi kanak-kanak ini,” katanya.
Pada masa sama, mesyuarat itu turut menyentuh mengenai keperluan untuk mewujudkan sistem penjagaan jangka panjang (LTC) bagi warga emas, selaras dengan Teras 5 Kerangka Tindakan Penuaan Kebangsaan.
Katanya, menjelang tahun 2030, dianggarkan 15 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas, dan majoriti golongan ini tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Mesyuarat mengambil ketetapan bahawa langkah drastik perlu diambil untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan kerajaan melalui penstrukturan sistem sokongan sosial yang lebih mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE