fbpx
Orang ramai bersiar-siar sambil menikmati jualan. - Gambar hiasan

Ringgit mengukuh, barang makin murah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU ini, ringgit terus merekodkan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai 4.20 pada Isnin.

Penganalisis melihat perkembangan tersebut sebagai kelemahan pada dolar AS, dengan keyakinan terhadap mata wang yang sebelum ini dianggap selamat itu makin pudar, susulan pengumuman tarif timbal balik yang djangka bakal memberi impak negatif kepada ekonomi AS.

Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid baru-baru ini berkata, dasar Presiden AS, Donald Trump dilihat tidak konsisten, sering berubah, dan bersifat antagonistik termasuk terhadap negara yang dianggap sebagai sekutunya.

“Pendapat kami, peralihan kepada mata wang bukan dolar AS akan terus berlaku,” ujarnya.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan menyebut ringgit telah meningkat sebanyak 2.3 peratus sejak awal tahun sehingga kini berbanding dolar AS bersama kebanyakan mata wang serantau, didorong terutamanya oleh kelemahan dolar secara meluas.

Rakyat Malaysia secara umumnya sering memandang baik kepada pengukuhan ringgit, kerana dianggap bakal menambah kuasa beli, mengurangkan tekanan inflasi dan membawa kepada kos import lebih rendah, seterusnya menurunkan harga barang dari luar negara.

Warga Malaysia yang melancong ke luar negara juga akan menikmati nilai tukaran wang yang lebih baik menjadikan perjalanan mereka lebih murah.

Pun begitu, pengukuhan ringgit kali ini seperti tidak begitu diraikan atau diangkat sebagai satu lagi kejayaan Kerajaan Madani.

Mungkin kerana ia lebih berat kepada kelemahan dolar AS berbanding kekuatan ringgit itu sendiri. Boleh jadi juga wujud kebimbangan bahawa pengukuhan ringgit boleh menjadikan eksport negara kurang kompetitif, kerana produk tempatan boleh menjadi lebih mahal kepada pembeli luar negara.

Dalam suasana ketidaktentuan perdagangan akibat kejutan tarif AS ketika ini, sebarang faktor yang berisiko mengurangkan daya saing eksport Malaysia tentunya sesuatu yang ingin dielakkan.

Bagi Penganalisis Ekonomi, UNIKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pengukuhan nilai ringgit sepatutnya membawa berita gembira sekiranya ia membantu rakyat dalam mengekang kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan kuasa beli mereka.

Lebih-lebih lagi apabila Malaysia mengimport barangan makanan dalam kuantiti banyak, sekitar RM70 bilion setahun, namun harga barangan tidak semestinya menjadi lebih murah.

“Persoalannya, apakah keuntungan yang bertambah di pihak pengimport ini akan dikongsikan dengan para pengguna, peruncit dan pemborong dengan menurunkan harga barangan yang diimport, berikutan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS yang menjadi mata wang tukaran perdagangan dunia?” soalnya ketika dihubungi.

Pada masa sama, beliau bersetuju bahawa pengukuhan ringgit yang terlalu pantas tidak membantu pengeksport.

“Bagi pengeksport, nilai tukaran ringgit akan berkurangan setelah ditukar dari dolar AS. Ini terutamanya barangan komoditi seperti minyak sawit dan sarung tangan.

“Apa yang penting bagi mereka adalah kestabilan tukaran asing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN