fbpx

UOB catat untung bersih tertinggi RM2.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UOB Bank merekodkan keuntungan bersih tertinggi pada tahun kewangan 2024.

PETALING JAYA – UOB Malaysia merekodkan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM2.2 bilion dan jumlah pendapatan operasi RM4.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Wei Wei berkata, keuntungan bersih sebelum cukai bank meningkat 15.9 peratus (2023: RM1.9 bilion), manakala pendapatan operasi mencatat kenaikan 2.3 peratus (2023: RM4.6 bilion).

Menurut beliau, peningkatan dalam pendapatan operasi adalah bersandarkan pertumbuhan yang stabil dalam semua aliran pendapatan, termasuk pendapatan faedah bersih, perbankan Islam, keuntungan pertukaran asing bersih, fi dan komisen. 

“Pencapaian ini menunjukkan kekuatan model perniagaan terpelbagai kami, disokong oleh pengurusan risiko yang berhemat, kawalan kos yang berdisiplin serta prestasi kukuh dalam semua perniagaan teras kami. 

“Perniagaan perbankan borong telah mencatat kemajuan ketara dalam memajukan agenda kemampanan dan kesalinghubungan bank, menyampaikan pertumbuhan dua angka dalam kedua-dua pembiayaan mampan dan pinjaman perdagangan. 

“Hasil daripada aliran perdagangan yang baik, pendapatan pasaran global kami juga meningkat dengan kukuh, berikutan usaha kami dalam membantu pelanggan mengurus risiko kadar faedah dalam persekitaran yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.

Pada tahun 2024, pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar UOB Malaysia meningkat 2.1 peratus kepada RM109.5 bilion (2023: RM107.2 bilion), disebabkan oleh pertumbuhan yang stabil dalam kedua-dua segmen borong dan runcitnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI