fbpx
Pelajar-pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan amat cemerlang seperti semua A disarankan mengikuti pengajian dalam bidang berkepakaran tinggi. – Gambar hiasan

Hala tuju lepas SPM mencorak kerjaya masa hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan peperiksaan yang penting bagi warganya.

Malah, keputusan SPM sering dianggap sebagai penentu masa depan. Keputusannya menjadi titik tolak pemilihan bidang pengajian sekiranya ingin melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Baru-baru ini keputusan SPM 2024 diumumkan dan seramai 14,179 daripada 402,918 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 11,713 calon pada 2023.

Selain itu, pencapaian SPM 2024 juga disifatkan sebagai keputusan terbaik direkodkan pelajar sejak syarat wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah diperkenalkan pada tahun 2013.

Setelah keputusan SPM diumumkan, pasti setiap pelajar masih mencari hala tuju untuk melanjutkan pengajian. Hala tuju selepas SPM penting kerana ia bukan saja memberi kesan besar kepada masa depan pelajar itu sendiri, malah juga penting untuk pembangunan negara secara keseluruhan.

Bagaimanapun, tidak kira sama ada pelajar itu meraih keputusan yang cemerlang atau tidak, peluang untuk melanjutkan pengajian sebenarnya masih ada asalkan mempunyai kemahuan diri.

Mereka yang berjaya, boleh meneruskan impian ke menara gading, manakala yang kurang berjaya atau gagal tidak bermakna perjalanan keilmuan sudah berakhir.

Bagi mereka yang meraih keputusan yang bagus atau cemerlang, Pengarah Pusat Pembangunan Karier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat berpendapat, pemilihan bidang pengajian yang tepat di universiti adalah paling penting.

Menurutnya, untuk memilih, pelajar perlu sesuaikan diri dengan pencapaian akademik mereka.

“Kemudian pelajar perlu melihat minat dan kecenderungan masing-masing.

“Mereka yang cemerlang boleh memilih melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang seperti perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan sebagainya bagi memastikan negara dapat terus melahirkan tenaga pakar dalam bidang ini.

“Namun begitu, minat juga perlu bagi memastikan pelajar dapat mengikuti sesuatu program dengan baik dan menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang,” katanya.

Tambah Salleh, penting untuk sesuatu bidang itu diminati oleh para pelajar itu sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

“Ada pelajar mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang dan membolehkan mereka menyambung pengajian ke dalam mana-mana aliran, tetapi terpaksa memilih bidang yang mereka tidak minat atas pilihan ibu bapa,” katanya.

Pelajar-pelajar yang meraih keputusan SPM cemerlang boleh memburu ijazah di menara gading, manakala yang kurang berjaya boleh mencuba bidang-bidang kemahiran.

Berdasarkan pengalamannya, ada kes berlaku di mana pelajar yang masuk ke dalam program sains atas pilihan ibu bapa akhirnya memilih untuk menggagalkan diri mereka sendiri kerana tidak minat.

Dalam pada itu, kata Salleh, kepada mereka yang tidak mencatatkan keputusan SPM yang cemerlang ataupun gagal pemilihan program untuk melanjutkan pengajian juga penting.

Salleh berkata, mereka ini mungkin tidak berapa bagus dari segi akademik. Sebaliknya mereka lebih bagus dari aspek kemahiran.

Pelajar-pelajar ini boleh memilih untuk menceburkan diri di dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Mereka ini boleh melanjutkan pengajian ke dalam program-program berbentuk kemahiran yang ditawarkan di pelbagai institusi.

“Banyak sebenarnya program kemahiran yang ada pada masa kini dan ada antaranya menawarkan gaji yang lumayan.

“Malah, TVET kini juga sedang diperkasa oleh kerajaan dan pelajar yang cemerlang jika mempunyai minat di dalam bidang ini juga tidak salah untuk mereka menceburinya,” ujarnya.

Mengenai senario keengganan pelajar SPM sama ada yang cemerlang atau tidak untuk melanjutkan pengajian sebaliknya memilih untuk menjadi pencipta kandungan atau pempengaruh yang berlaku hari ini, Salleh berkata, sebaiknya setiap lepasan SPM menyambung pengajian jika berpeluang.

“Bukan tidak boleh untuk menjadi pencipta kandungan atau pempengaruh, sebaliknya kedua-duanya boleh dilakukan secara serentak.

“Dengan ilmu yang ada mereka pasti akan menghasilkan kandungan yang lebih bermanfaat.

“Kita boleh mengambil contoh pempengaruh seperti Khairul Aming dan lain-lain yang mempunyai taraf pendidikan yang baik, mereka lebih matang untuk menghasilkan kandungan-kandungan di media sosial,” terangnya.

Sementara itu, Salleh juga mengesyorkan agar pelajar yang cemerlang seperti semua A memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang-bidang penting seperti perubatan, undang-undang dan sebagainya bagi memastikan negara mempunyai tenaga pakar yang mencukupi dalam bidang-bidang berkepakaran tinggi tersebut pada masa hadapan.

Baru-baru ini juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharapkan lebih ramai pelajar cemerlang SPM untuk memilih bidang perubatan. Ini secara tidak langsung mampu melengkapkan keperluan pakar perubatan di dalam negara.

Mengulas akan hal tersebut, Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Norazlina Mohamed berkata, pada tahun 2022 negara kita mencatatkan nisbah satu doktor kepada 412 penduduk.

Menurutnya, untuk tahun ini KKM telah menyasarkan nisbah satu doktor kepada 400 penduduk pada tahun 2025.

“Malaysia juga menghadapi kekurangan doktor pakar di hospital-hospital kerajaan.

“Adalah diharapkan pelajar cemerlang SPM ini dapat memilih bidang perubatan dan seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran bagi menampung keperluan negara pada masa hadapan,” katanya.

Norazlina memberitahu, pelajar lepasan SPM yang ingin mengikuti pengajian perubatan perlu mendapat sekurang-kurangnya gred B dalam mata pelajaran Biologi, Kimia, Fizik, Matematik/Matematik Tambahan.

“Pendek kata, mereka kena mendapat keputusan cemerlang dalam aliran sains tulen iaitu Fizik, Kimia dan Biologi.

“Semasa matrikulasi pula, mereka kena dapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) sekurang-kurangnya 3.8,” jelasnya.

Mengenai tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bidang perubatan ini agak sukar dan menjadi sebab ramai pelajar cemerlang tidak mahu mengambil jurusan tersebut, Dr. Norazlina menjelaskan, tidak dinafikan bidang perubatan mempunyai struktur kurikulum yang padat dan pelbagai kaedah penilaian yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Terangnya, perkara ini dikawal atur oleh Majlis Perubatan Malaysia.

“Ini adalah perlu untuk memastikan doktor-doktor yang dihasilkan adalah berkualiti.

“Walaupun demikian, Fakulti Perubatan di UKM misalnya menyediakan pelbagai sistem sokongan selain daripada pensyarah yang berkelayakan dan berpengalaman,” ujarnya.

Antara sistem sokongan yang disediakan adalah sistem mentor-mentee, sistem buddy dan sesi kaunseling yang boleh membantu pelajar-pelajar untuk melalui bidang perubatan dengan baik.

Meskipun bidang perubatan dikatakan agak sukar, namun di UKM setiap tahun berlaku peningkatan jumlah permohonan pelajar yang memilih bidang perubatan.

“Ini juga menunjukkan ramai pelajar yang mempunyai minat yang tinggi terhadap profesion ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Norazlina memberi nasihat kepada pelajar-pelajar untuk menilai kecenderungan dan minat masing-masing.

“Sekiranya mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap bidang perubatan, perlu kuatkan keazaman untuk memburu cita-cita tersebut, tidak kira apa yang diperkatakan oleh orang lain.

“Apabila kita melakukan sesuatu yang kita suka, kita akan dapat atasi segala cabaran dan ujian,” jelasnya.

Sementara itu, dalam kegembiraan meraikan pelajar yang meraih keputusan cemerlang jangan dilupakan buat mereka yang tidak bernasib baik.

Bidang-bidang kemahiran atau TVET boleh diikuti sesuai minat atau kebolehan masing-masing.

Di Selangor misalnya, kerajaan negeri itu memberi saranan untuk pelajar lepasan SPM yang tidak berjaya untuk terus belajar dengan mengikuti institusi-institusi kemahiran demi masa depan lebih cemerlang.

Exco Sumber Manusia Dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman berkata, semua pihak perlu memberi perhatian dan sepenuh motivasi kepada pelajar-pelajar yang tidak berjaya mencapai keputusan cemerlang kali ini.

“Kegagalan dalam akademik bukanlah penamat segala-galanya. Peluang kedua sentiasa terbuka luas untuk anda membina masa depan yang cerah melalui pelbagai laluan alternatif.

“Kerajaan Negeri bersama dengan agensi-agensi berkaitan menyediakan pelbagai program kemahiran, latihan teknikal dan pendidikan vokasional antaranya melalui institusi seperti Selangor Technical Development Centre (STDC), Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Centre for Instructor and Advanced Skill Training (CIAST) dan GiatMara serta Institut Latihan Perindustrian (ILP).

“Pelajar yang berminat boleh menghubungi institusi-institusi ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus ditawarkan dalam pelbagai bidang seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, automotif, reka bentuk, kimpalan, elektrik, perhotelan dan kulinari serta banyak lagi kursus kemahiran yang ditawarkan,” katanya.

Papparaidu menyeru agar semua pelajar, tanpa mengira keputusan SPM untuk terus melangkah ke hadapan dengan semangat juang yang tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN