fbpx

Man. United mula terbayang trofi Liga Europa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FERNANDES meraikan kejayaannya meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Athletic awal pagi semalam. - AFP

BILBAO – Impian Manchester United untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebagai juara Liga Europa musim ini semakin cerah susulan kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi separuh akhir pertama awal pagi semalam.

Berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL), harapan United untuk layak UCL hanya bergantung kepada kejayaan mereka memenangi Liga Europa yang turut menjanjikan habuan bernilai £100 juta (RM573.18 juta).

Bekalan tiga gol di Stadium San Mames itu menyaksikan United sebenarnya sudah ‘sebelah kaki’ ke pentas final yang akan berlangsung di venue sama pada 22 Mei nanti dengan syarat mereka tidak bolos lebih daripada dua gol pada aksi timbal balik di Stadium Old Trafford minggu depan.

Pengurus United, Ruben Amorim menganggap kemenangan ke atas Athletic itu boleh disifatkan sebagai keputusan terbaik di bawah bimbingannya sejak dilantik pada 11 November lalu.

“Saya merasakan ini adalah keputusan terbaik sepanjang saya mengendalikan pasukan kerana tiada sesiapa menjangkakan kemenangan seperti ini. Namun, sebenarnya anda menyaksikan dua perlawanan yang berbeza hari ini (awal pagi semalam)

“Yang pertamanya adalah 25 minit awal, kemudian satu lagi selepas gol pertama kami dan kad merah itu,” kata Amorim.

Casemiro membuka tirai jaringan pada minit ke-30 sebelum tugasan United menjadi lebih mudah selepas bek tengah Athletic, Daniel Vivian dilayangkan kad merah berselang enam minit kemudian sebelum Bruno Fernandes meledak dua gol (m-37, m-45).

Walaupun sering gagal mengawal tekanan musim ini, kemenangan itu membuktikan The Red Devils yang melakukan kebangkitan luar biasa menentang Lyon di suku akhir berjaya bertahan dan seterusnya menguasai perlawanan dalam suasana yang penuh tekanan.

“Separuh masa pertama yang klinikal tetapi babak kedua begitu profesional. Kemenangan yang cukup baik tetapi kami masih ada 90 minit penting minggu hadapan,” kata kapten United, Harry Maguire. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI