PENGANJURAN Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Kluang, Johor merupakan antara gerak kerja bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG).
Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada temasya sukan dwitahunan edisi 2026 yang dijadualkan berlangsung suku tahun ketiga tahun hadapan.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Hanafiah Ayub berkata, pihaknya telah dilaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan Malaysia berada pada landasan terbaik untuk menyambut tetamu pada saingan AUG nanti.
“VTF 2025 merupakan tahun ketiga penganjuran sukan antara atlet-atlet universiti. Ada tiga siri kejohanan dan atlet-atlet ini perlu sertai dua antara tiga daripadanya sebelum berentap di Grand Final VTF.
“Atas sebab itulah VTF ada tiga siri sebab KPT mahukan program sukan sepanjang tahun sebelum grand final. Makna kata bila kita nak jadi tuan rumah, kita sudah ‘well plan’, bukan bersifat ad hoc,” katanya kepada Kosmo! selepas tamat siri pertama di Kluang semalam.
Malaysia memungut 38 pingat emas sekali gus mengatasi sasaran 35 emas ditetapkan pada edisi tahun lalu berlangsung di Surabaya-Malang, Indonesia.
Ia secara tidak langsung meletakkan kontinjen negara di tempat ketiga dengan keseluruhan 38 emas, 47 perak dan 62 gangsa.
Dalam pada itu, Hanafiah berkata, Malaysia sudah tentu akan meletakkan sasaran emas yang lebih tinggi untuk mencapai kedudukan teratas sebagai tuan rumah.

“Kapasiti kita sebagai tuan rumah, kenapa di peringkat kementerian agenda olahraga ini penting, kita tahu olahraga tidak akan terlepas dalam mana-mana kejohanan besar seperti Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
“Acuan kita untuk perkara-perkara pembangunan sukan mesti bersasar dan berfokus, sebab itulah kita laksanakan acara seperti ini,”katanya.
Tambahnya, KPT juga memfokuskan pembangunan sukan olahraga dengan menyediakan Pusat Kecemerlangan Olahraga di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“KPT turut menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) melibatkan tiga universiti terpilih iaitu UPM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Akhir sekali pembangunan sukan di bawah Program B10 (bawah 10 saat) di UPM, jadi kalau kita tengok tiga program yang elit ini antara persediaan kita, dan untuk makluman juga 30 peratus atlet negara datang dari atlet IPT,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia mula menjadi tuan rumah AUG pada 1984 dengan hanya enam jenis sukan dipertandingkan membabitkan penyertaan enam negara pada edisi ketiga itu.
Malaysia turut menjadi tuan rumah bagi edisi 1993 dan 2008 dan selepas 18 tahun, AUG kembali ke tanah air buat kali keempat pada 2026.