NASI kandar merupakan juadah popular dan menjadi identiti gastronomi di Utara Semenanjung Malaysia.
Juadah itu juga menjadi antara tarikan pelancong kerana rasanya yang enak dan kepelbagaian lauk-pauk berasaskan kuah kari serta lain-lain.
Menjadikan juadah tersebut sebagai menu signatur, restoran Nasi Kandar Melayu Utara membawakan resipi autentik nasi kandar dari Utara tanah air buat pencinta makanan di Lembah Klang.
Menurut pemiliknya, Mohammad Adib Mohd. Khairi, 36, nasi kandar Melayu berbeza dengan nasi kandar versi mamak kerana dihidang dengan nasi kuning dan lauk signatur iaitu daging masak seri intan.
“Menu istimewa ini sangat sinonim dengan saya sewaktu membesar kerana ia merupakan juadah kesukaan ayah. Ayah sering membawa kami sekeluarga menikmati sajian ini di kedai.
“Saya juga ingin membawa nostalgia itu dan berkongsi dengan orang ramai tentang nasi kandar Melayu, selain memberi mereka peluang merasai keenakannya,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di restorannya di Jalan Bukit Badak, Kampung Melayu Subang, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, nasi kuning merupakan identiti kepada nasi kandar Melayu Utara. Nasi ini dimasak dengan resipi tersendiri dan warnanya melambangkan elemen diraja.
Sementara bagi daging masak seri intan, ia turut dikenali sebagai daging masak hitam tetapi berbeza daripada resipi mamak.

Hal ini kerana ia tidak menggunakan banyak kicap dan rempah.
Kongsi bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi, dia memulakan perniagaan makanan sejak 2016 dengan menu makanan Mexico dan Barat sebelum beralih ke makanan Utara.
Pada 2018, pemuda berasal dari Parit Buntar, Perak itu memutuskan untuk menawarkan nasi kandar Melayu Utara dengan menggunakan resipi turun-temurun keluarga dan belajar daripada orang berpengalaman.
Kongsinya, dalam hidangan nasi kandar Melayu Utara, pelanggan boleh memilih hidangan set atau ala carte.
Bagi set, terdapat lapan set nasi yang boleh dipilih terdiri daripada ayam goreng, ayam madu, ayam gulai, daging hitam (seri intan), gulai kambing, tenggiri, telur sotong dan telur ikan.
Sepinggan nasi kandar Melayu Utara, pelanggan akan mendapat nasi dengan lauk bersama lima jenis kuah campur iaitu kari ayam, ikan, daging hitam, ayam merah, selain dalca dan sayur.

Bagi lauk ala carte pula, terdapat kira-kira 20 lauk pilihan yang ditawarkan setiap hari dan tambahan menu istimewa iaitu kari kepala ikan pada hujung minggu.
“Selain menu nasi kandar, kita juga menawarkan juadah lain seperti mi ayam dan bakso, selain seleksi minuman kopi.
“Setiap menu ditawarkan pada harga berpatutan bermula dari RM7 hingga RM14 untuk pilihan set dan serendah RM1 untuk pilihan lauk-pauk ,” ujarnya.
Katanya, setiap lauk-pauk dimasak segar setiap hari bagi menjamin kualiti serta rasa autentik nasi kandar Melayu Utara.
















