LONDON – Lima baki perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal menjadi penampilan terakhir Jamie Vardy bersama Leicester City apabila penyerang itu mengumumkan tidak akan kekal bersama pasukan.
Bagaimanapun, Vardy masih mahu meneruskan kariernya dan keputusan untuk meninggalkan Leicester memberikan banyak kesan memandangkan dirinya sudah dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik EPL pernah menyarung jersi The Foxes.
Pengurus Leicester, Ruud van Nistelrooy melabel Vardy sebagai individu yang mudah untuk diurus walaupun ketika pasukan mengharungi tempoh sukar.
“Dia sudah mencapai segala-galanya dan sekarang dia boleh pergi selepas menikmati tempoh yang hebat.
“Untuk pengurus selepas ini, dia adalah seorang individu yang cukup terbuka dan jujur pernah saya temui.
“Dia akan menceritakan apa yang dia rasa dari fikirannya, namun yang pasti dia tidak terlalu sukar untuk diurus,” katanya.
Malam ini, Leicester akan bertandang ke Stadium Molineux untuk mengharungi aksi ke-34 menentang Wolverhampton Wanderers.
Terdahulu, Vardy menyifatkan perjalanannya bersama Leicester cukup hebat walaupun berdepan detik sedih kerana pasukan itu secara rasminya tersingkir daripada kempen EPL.
The Foxes yang pernah mencipta sensasi menjuarai EPL pada musim 2015/16, kini berada di tangga ke 19 selepas hanya mengutip 18 mata daripada 33 perlawanan. – AGENSI