PETALING JAYA – Taktik seorang lelaki menghantar bekalan rokok seludup ke sebuah rumah terbongkar apabila dia dicekup dalam serbuan oleh Pasukan Polis Marin di Taman Minang, Cheras, semalam.
Serbuan pada pukul 1 petang itu dijalankan oleh Unit Risikan Marin (URM) bersama Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pelabuhan Klang menerusi Ops Taring Landai Bil 14/25, susulan maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan barangan tidak bercukai.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kenderaan dan mengekori kereta tersebut sehingga ke sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan berusia 29 tahun itu menemukan sebungkus beg plastik yang mengandungi rokok disyaki tidak bercukai.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah turut menemui pelbagai jenis rokok tidak bercukai yang disimpan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Rusley, suspek mengaku hanya bertindak sebagai penghantar bagi pihak sindiket.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang digunakan suspek dianggarkan bernilai RM943,426.59,” ujarnya.
Menurut beliau, semua rampasan telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE