GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli Bateq di Kampung Kuala Koh di sini tidak mahu kejadian kematian melibatkan penularan wabak kepada penduduk berulang apabila mereka kerap berpindah ke kawasan hutan sejak penularan Covid-19 negara ini.
Dua tahun lalu, jangkitan wabak demam campak telah mengorbankan nyawa seramai 15 orang penduduk kampung sehingga menyebabkan mereka sentiasa berwaspada dengan bahaya Covid-19.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Kuala Koh hari ini mendapati suasana lengang dan beberapa buah rumah penduduk telah ditinggalkan kosong.
Selain itu, terdapat penduduk yang baru sahaja pulang selepas mereka dipercayai berkurung diri dalam tempoh antara seminggu hingga tiga minggu di dalam hutan.
Seorang warga emas, Hanisah Tebu, 68, berkata, hampir 200 penduduk Orang Asli di sini masih mengamalkan hidup secara nomad iaitu berpindah-randah untuk mencari sumber makanan.
Katanya, mereka berasa selamat tinggal di kawasan hutan dan pinggir sungai serta memudahkan mereka mencari makanan.
“Saya baru saja pulang semalam selepas dua minggu tinggal dalam hutan.
“Meskipun tidak mempunyai televisyen dan telefon pintar, kami mengetahui bahaya wabak Covid-19 daripada penghulu dan belia kampung yang mempunyai telefon dan radio,” katanya.
Pada bulan Jun 2019, Kampung Kuala Koh menjadi tumpuan apabila 15 orang penduduk maut akibat krisis kesihatan. -K! ONLINE














