SHAH ALAM – Kerajaan negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) menyumbang wang tunai sebanyak RM10,000 kepada lima ibu tunggal yang menjadi mangsa kebakaran insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, sumbangan tersebut diberikan bagi meringankan beban mangsa tersebut yang mengalami kerugian ribuan ringgit akibat tragedi tersebut.
“Setakat pendaftaran mangsa bagi tragedi itu, kita kenal pasti ada lima orang mangsa sahaja adalah ibu tunggal. Jadi hari ini, kami beri setiap mangsa wang tunai RM2,000,” katanya dalam majlis sambutan Hari Raya anjuran WBS dan Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Anfaal mamaklumkan, Anis kini berada dalam proses pertukaran daripada sebuah jabatan kepada Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis).
“Sekarang ini, kita sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi tujuan itu,”. – KOSMO! ONLINE