fbpx

Daun pokok pulai dalam tekak, perut Zayn Rayyan – Pegawai Penyiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaim Ikhwan (kanan) dan Ismanira (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang Pegawai Penyiasat Kanan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini objek asing yang ditemukan dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut pada mayat Zayn Rayyan Abdul Matin adalah tumbuhan daun jenis pulai.

Asisten Superitendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, berkata, dapatan itu hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap Zayn Rayyan selain analisa oleh ahli kimia terhadap objek yang ditemukan pada kedua-dua abdomen itu.

“Saya telah terima laporan awal daripada ahli kimia yang mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing yang terdapat dalam bronkus si mati yang telah dihantar untuk analisa adalah sejenis tumbuhan daun jenis pulai.

“Berdasarkan maklumat saya telah jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai berhampiran anggaran 10 meter dari tempat si mati ditemui,” kata saksi itu dalam pernyataan saksinya yang mengatakan laporan ahli kimia itu diperoleh pada 12 Disember 2023.

Lanjutan pernyataan saksi itu turut menyatakan bahawa tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing yang dijumpai dalam dubur Zayn Rayyan yang mana hasil analisa terhadap spesimen calitan dari dubur si mati tiada DNA asing yang dijumpai dan hanya DNA milik Zayn Rayyan.

Dalam pada itu, berkaitan dengan hasil bedah siasat, saksi itu turut mengatakan terdapat kesan kecederaan yang dikatakan berunsur jenayah pada mayat Zayn Rayyan.

Mohd. Hafizee berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perubatan Perunding Forensik Dr. Rohayu Shahar Adnan yang melakukan bedah siasat pada kanak-kanak autistik itu pada 7 Disember 2023.

“Semasa saya tiba dalam bilik bedah siasat, saya dapati keadaan si mati (Zayn Rayyan) telah dibuka separuh badan dan saya ada bertanyakan kepada doktor bedah iaitu Doktor Rohayu tentang kecederaan yang dikatakan mempunyai unsur jenayah. Doktor Rohayu telah tunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri si mati dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan si mati terdapat kesan toreh dan dubur si mati seperti terdapat kesan tusukan objek,” katanya.

Ujar beliau, terdapat juga beberapa kecederaan lain yang dialami antaranya lesan lebam dibahagian dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir dan rahang selain menyatakan punca kematian adalah ligature strangulation (kesan jerutan).

Sebelum ini Dr. Rohayu dalam keterangannya mengesahkan terdapat benda asing ditemui pada rongga tekak pernafasan sebelah kanan dan dalam perut si mati.

Ia yang mana lelangit si mati turut lebam menunjukkan benda asing di masuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut dan benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana si mati bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing (choked to death).

Sementara itu, berhubung barang kes, Mohd. Hafizee memaklumkan, berikutan hasil bedah yang dikatakan ada unsur jenayah, beliau kemudian telah membuka kertas siasatan dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagaimana arahan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD).

“Pada pukul 10.30 malam (7 Disember 2023) saya bersama pasukan bergerak menuju ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di Apartment Idaman, saya bersama pasukan telah pergi ke rumah si mati iaitu di Blok R bersama-sama pasukan siasatan yang terdiri daripada pasukan Forensik D10 IPK Selangor dan telah menjalankan siasatan di dalam rumah tersebut.

“Semasa masuk ke dalam rumah, saya telah terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur. Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut tersebut untuk siasatan saya,” kata saksi itu lagi.

Tambahnya, hasil daripada siasatan yang dijalankan pada 31 Mei 2024 kedua-dua tertuduh (Zaim Ikhwan dan Ismanira) telah ditangkap untuk siasatan berhubung kes yang kemudian pada 10 Jun 2024 tertuduh Ismanira telah dibawa keluar dari lokap untuk menjalankan proses lakonan semula.

“Proses (lakonan semula) bermula dari jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Saya arahkan pasukan D6 Bukit Aman untuk merakam proses lakonan semula tersebut. Rakaman tersebut telah disalin ke dalam pendrive dan telah diserahkan kepada saya.

“Pada 12 Jun 2024 tertuduh Ismanira telah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya yang kemudian pada 13 Jun 2024 saya telah menerima arahan untuk tertuduh pertama iaitu Zaim Ikhwan bin Zahari dan tertuduh kedua iaitu Ismanira binti Abdul Manaf dituduh dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 dan dibaca bersama-sama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” kata saksi itu lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI