SETIAP orang mempunyai minat dan cara masing-masing bagi menghiburkan hati.
Seperti Abon (bukan nama sebenar), dia juga memiliki minat tersendiri dan wajib dilakukan setiap tahun iaitu hadir ke pesta Songkran di Thailand.
Acara yang diadakan pada April setiap tahun iaitu antara 13 hingga 15 hari bulan itu merupakan perayaan tahun baharu warga Thailand yang juga merupakan pesta air.
Jelas anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, dia saban tahun tidak pernah ketinggalan menghadirkan diri ke Thailand untuk memeriahkan pesta tersebut.
“Saya dari zaman bujang memang wajib ke Thailand pada setiap tahun untuk menyambut pesta Songkran di sana.
“Bagi saya, ia merupakan satu pesta yang menyeronokkan, selain kita dapat berkumpul dengan ramai pelancong dari pelbagai negara,” katanya.
Meneruskan perkongsian, eksekutif di sebuah bank di ibu kota itu memberitahu, selepas berumah tangga, dia tetap pergi ke pesta tersebut sambil bercuti bersama keluarga.
Ujar bapa kepada dua cahaya mata itu, mereka sekeluarga sangat gembira dapat bercuti di negara Gajah Putih itu bagi melepaskan lelah seketika dengan kehidupan seharian.
“Cumanya, ada satu tahun, isteri dan anak-anak tidak dapat ikut ke Thailand kerana terpaksa pulang ke kampung mentua di Batu Pahat, Johor kerana ada urusan penting.
“Pada mulanya, saya hendak batalkan tempahan. Usai berbincang dengan isteri, dia membenarkan saya pergi seorang diri ke sana memandangkan tiket kapal terbang dan hotel sudah dibayar.
“Saya pergi seorang diri dengan menaiki pesawat ke Bangkok tanpa keluarga buat kali pertama,” katanya.
Diringkaskan cerita, lelaki berusia 45 tahun itu mengakui, perjalanannya ke negara tersebut berjalan lancar sehinggalah dia bertemu dengan seorang gadis ketika pesta Songkran.
Ketika sedang menembak menggunakan pistol air kepada pengunjung lain, Abon tiba-tiba ‘ditembak’ seorang gadis muda Thailand berwajah campuran Belanda pada bahagian badan.
“Berkali-kali dia menembak saya dengan pistol airnya sambil tersenyum manja. Saya memberanikan diri untuk bertegur sapa.
“Bermula dari situ, saya berkenalan dengannya dan bertukar nombor telefon, sebelum mengajak gadis itu keluar minum pada sebelah malam.
“Kebetulan, gadis berusia 22 tahun itu juga datang bersendirian tanpa ditemani keluarga kerana ibu bapanya bercuti ke Amsterdam,” katanya.
Sambung Abon, dia tertarik dengan gadis itu kerana keramahan dan kejelitaannya, selain tutur bicaranya yang mampu ‘mencairkan’ hati.
“Dari perkenalan biasa, kami terlanjur kepada perkara yang tidak sepatutnya. Saya dan gadis tersebut masing-masing lupa diri apabila bersama.
“Kami melakukan perkara tersebut (seks) lebih lima kali ketika saya di sana.
“Pada mulanya, saya tidak rasa bersalah sehinggalah pulang ke pangkuan keluarga,” ujarnya.
Menurut Abon, gadis itu akhirnya hamil anak luar nikah dan mula mencarinya menerusi panggilan telefon dan media sosial. Perbuatan curang Abon akhirnya diketahui oleh isteri dan keluarga.
Disebabkan kekecewaan yang mendalam, isterinya minta untuk dilepaskan dan perkara itu dipersetujui oleh Abon kerana rasa bersalah di atas perbuatannya.














