ADAKAH skuad olahraga negara sanggup menyaksikan pingat emas yang sepatutnya menjadi milik Malaysia sekali lagi hilang buat kali ketiga berturut-turut dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini.
Malaysia sentiasa dianggap kuasa besar Asia Tenggara terutamanya lompat tinggi lelaki selepas menjuarai 22 daripada keseluruhan 32 penganjuran sejak edisi pertama dikenali sebagai Sukan SEAP di Bangkok, Thailand pada 1959.
Menariknya, sepanjang tempoh 42 tahun sejak ditukar nama kepada Sukan SEA dari 1977 sehingga 2019, Malaysia hanya gagal sekali memenangi pingat emas iaitu edisi 2005 kepada atlet Vietnam, Nguyen Duy Bang.
21 pingat emas dalam tempoh itu milik Malaysia dengan Loo Kum Zee menjadi pemenang lima kali (1995, 1997, 1999, 2001, 2003), diikuti Lee Hup Wei (2007, 2009, 2011, 2019) dan Nauraj Singh Randhawa (2013, 2015, 2017).
Baljit Singh menang pada 1977, Ho Yoon Wah (1979, 1981), Nairu Lal Ramjit (1983, 1985), K. Sibalan (1989) dan Lou Cwee Peng (1987, 1991 dan 1993) selain juara pertama negara, Zainal Salleh ketika edisi 1967.
Dominasi negara berakhir sejak persaraan Hup Wei pada 2022 diikuti Nauraj setahun kemudian menyaksikan Malaysia kehilangan pingat emas dalam dua penganjuran terakhir.
Penguasaan berpuluh tahun Malaysia dipecahkan Thailand menerusi dua atletnya, Kobsit Sittichai pada edisi Vietnam 2021 dan Tawan Kaeodam di Kemboja 2023.
Situasi sama mampu terjadi pada edisi ke-33 Thailand 2025 kali ini disebabkan ketiadaan pelapis atau atlet mampu menyamai kehebatan Hup Wei dan Nauraj yang masih lagi memegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30 meter (m).
Lebih membimbangkan apabila Singapura berjaya melahirkan pencabar pingat emas menerusi atletnya berpangkalan di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat iaitu Kampton Kam.
Atlet berusia 24 tahun itu baru sahaja memecahkan rekod Singapura berusia 30 tahun dengan catatan 2.25m, 0.03m sahaja lagi untuk memadam rekod Sukan SEA dicipta Tawan Kaeodam di Kemboja tiga tahun lalu.
Selain itu, naib juara dari Vietnam, Vu Duc Anh masih lagi dilihat sebagai calon merebut pingat emas pada edisi di Thailand nanti.
Situasi ini seharusnya membuka mata Olahraga Malaysia (MA) untuk melakukan sesuatu dalam baki masa yang ada memandangkan negara hanya memiliki Mohamad Eizlan Dahalan sebagai sandaran terbaik.
Bukan menidakkan kemampuannya, tetapi Eizlan yang meraih gangsa edisi Vietnam 2021 hanya mampu mencatat 2.05m pada tahun lalu, masih jauh berbanding rekod peribadinya 2.18m.
Seorang lagi atlet negara, Farell Glen Felix Jerus yang meraih gangsa di Kemboja 2023 dengan catatan 2.15m, juga tidak pasti sama ada mampu mencabar calon-calon emas seperti Tawan Kaeodam atau Kampton Kam.
Ketiadaan Hup Wei dan Nauraj juga menyaksikan Malaysia kini tiada lagi wakil atlet lompat tinggi beraksi di pentas tertinggi seperti Kejohanan Dunia serta Sukan Olimpik.














