MILAN – Pengurus Inter Milan, Simone Inzaghi menjelaskan pasukannya kini terpaksa ‘berperang’ dengan diri sendiri untuk berada pada prestasi terbaik bagi meraih keputusan positif.
Selepas unggul mendominasi carta Serie A, Inter akan berdepan satu lagi cabaran getir menentang Bayern Munich pada aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium San Siro awal pagi esok.
Mengambil kira jumlah perlawanan dilalui musim ini, Inzaghi mengakui anak-anak buahnya berdepan keletihan fizikal dan mental hingga memberi kesan ketara kepada kualiti permainan.
“Sudah pasti untuk kekal fokus adalah tugas sukar, namun saya bernasib baik dapat melatih mereka yang bersedia untuk memberi segala-galanya.
“Kami perlu meneruskan perjalanan kami, enam aksi liga dan juga pertandingan lain. Ia pastinya memerlukan pengorbanan besar, namun kami sudah bersedia untuk melakukannya,” katanya.
Pada perlawanan pertama minggu lalu, Inter memperoleh bekalan satu gol apabila menang 2-1 ke atas Bayern hasil jaringan Lautaro Martinez dan Davide Frattesi menyaksikan cabaran kini pastinya menjurus kepada mempertahankan kelebihan itu.
Untuk rekod, musim lalu Inter bermain 49 perlawanan secara keseluruhan, namun kini sudah bermain 48 kali sekali gus menuntut penyesuaian lebih baik bagi mendapatkan keputusan positif.
“Kami akan mengharungi perlawanan menentang Bayern dengan penuh yakin kerana kami tahu mereka adalah pasukan ketiga atau keempat terbaik dunia,” tambah Inzaghi. – AGENSI