fbpx
AMRAN terkejut apabila melihat satu lembaga hitam bermata merah berdiri di belakang pelanggannya sewaktu menghantar pesanan di sebuah pangsapuri lama di Kuala Lumpur. – Ilustrasi Shah Hasan

‘Rider’ dapat pesanan misteri dari rumah tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA malam itu, Amran (bukan nama sebenar) yang bekerja sebagai penunggang p-hailing telah menerima pesanan untuk menghantar makanan ke sebuah pangsapuri lama di Kuala Lumpur.

Ketika tiba di pangsapuri tersebut, lelaki berusia 25 tahun itu mendapati keadaan sekeliling agak sunyi dan suram, biarpun jam di tangan baru menunjukkan pukul 9 malam.

Tanpa mengesyaki apa-apa, anak kelahiran Johor itu segera menaiki lif dan menuju ke rumah yang memesan makanan tersebut. Unit yang dituju agak jauh dari kedudukan lif. Jadi, Amran terpaksa berjalan agak jauh ke arah rumah berkenaan.

“Saya sudah biasa hantar makanan pada waktu malam, tapi anehnya pangsapuri itu agak sunyi, biarpun banyak lampu menyala.

“Saya tidak berfikir banyak dan terus ke rumah yang dituju di tingkat lima.

“Saya mahu urusan menghantar makanan selesai dengan cepat dan segera pulang ke rumah,” katanya kepada CitaRasa.

Memandangkan pelanggan tersebut memilih untuk membuat bayaran secara cash on delivery (COD), Amran terpaksa mengetuk pintu rumah untuk mendapatkan bayaran tunai.

Dari luar rumah, Amran terdengar bunyi seperti sekumpulan individu sedang berzikir, namun pertuturannya tidak jelas.

Tidak lama kemudian, pintu dibuka secara perlahan-lahan oleh seorang lelaki dengan riak wajah pucat, namun tersenyum mesra menyambut makanan yang dihantar oleh Amran.

Ketika saling bertukar antara makanan dan duit, Amran dapat merasakan tangan lelaki itu sangat sejuk seperti ais.

Ketika Amran mendongak kepalanya untuk mengucapkan terima kasih, dia terkejut apabila melihat kelibat lembaga hitam bermata merah sedang berdiri di belakang pelanggan tersebut.

Hati lelaki yang sudah sedekad bertugas sebagai penghantar makanan itu berdebar-debar dan bulu romanya mula meremang.

Dia segera mengucapkan terima kasih dan berjalan pantas ke arah tangga untuk turun semula ke bawah.

“Saya tak berani naik lif kerana tidak mahu terperangkap di dalamnya. Jadi, saya turun guna tangga sehingga ke bawah.

“Pelanggan itu pun hanya senyum dan tak ucap terima kasih. Pastilah saya seram sejuk dengan situasi tersebut,” katanya.

Sewaktu Amran turun tangga dengan laju, dia terlanggar bahu seorang lelaki yang juga penghuni di pangsapuri itu.

Amran segera meminta maaf kepada lelaki berusia 40-an itu, sebelum menceritakan pengalaman seram dilaluinya. Lelaki berkenaan terkejut, sebelum memberitahu Amran bahawa kediaman yang dimaksudkan itu sudah lama kosong setelah pemiliknya meninggal dunia sebulan lalu.

Amran cuba menunjukkan duit yang diterimanya kepada lelaki itu. Namun, hatinya semakin resah apabila melihat duit tersebut telah bertukar menjadi daun kering.

“Pada mulanya, saya ingin tunjukkan duit sebagai bukti saya ada bertemu dengan penghuni unit tersebut. Saya juga ingin tunjukkan maklumat pesanan dari rumah itu dalam aplikasi p-hailing.

“Malangnya, maklumat dalam aplikasi juga sudah tidak ada. Saya bagaikan nak demam pada masa itu.

“Nasib baik lelaki tersebut percaya dengan cerita saya, sebelum dia membawa saya bertemu seorang ustaz di pangsapuri itu untuk memulihkan semangat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN