fbpx
Keadaan rumah penduduk yang mengalami kerosakan teruk dalam kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.

Bukan tak reda, tapi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sambutan Syawal pada tahun ini diraikan dengan air mata di Selangor. Apa tidaknya bulan yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam selepas sebulan ‘berjuang’ di bulan Ramadan bertukar mimpi ngeri buat penduduk Putra Heights.

Ini berikutan berlakunya insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni pada hari kedua Aidilfitri.

Musibah pada 1 April lalu itu menjadi igauan buruk buat penduduk Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru kerana menyebabkan kemusnahan besar ke atas harta benda mereka.

Api yang menjulang setinggi lebih 30 meter membentuk seperti cendawan menyebabkan lebih 200 premis termasuk rumah penduduk berhampiran saluran paip gas mengalami kerosakan. Yang masih kukuh cuma dinding batu.

Kenderaan penduduk pula ada yang tinggal rangka, ada juga yang mencair disebabkan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Puluhan mangsa cedera ketika cuba menyelamatkan diri.

Keadaan itu memaksa penduduk yang terjejas berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum tindakan seterusnya diumumkan oleh pihak kerajaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan jumlah yang berdaftar di PPS bertambah sebanyak 201 keluarga, berbanding 308 keluarga yang diumumkan awal minggu lalu menjadikan jumlah keseluruhan 509 keluarga.

Pertambahan itu berlaku disebabkan mangsa kembali ke rumah masing-masing selepas sambutan Aidilfitri.

Daripada jumlah itu, seramai 157 keluarga berlindung di PPS. Mereka ini akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selesa selepas lokasi penempatan semula dikenal pasti.

Tidak dapat membayangkan nasib mangsa-mangsa tragedi letupan tersebut, mereka bukan sahaja kehilangan harta benda, malah kejadian itu meninggalkan kesan emosi yang cukup mendalam buat penghuninya.

“Sejujurnya saya masih belum boleh moved on. Melihat keadaan rumah (total lost) membuatkan hati saya hancur. Saya rindukan rumah saya, saya rindukan barang-barang saya. Semuanya hangus,” demikian coretan salah seorang mangsa di Facebook.

Bagi yang beragama Islam, hendak beraya pun tiada mood mengenangkan rumah sendiri musnah sekelip mata lebih-lebih lagi bukan berpunca daripada diri sendiri.

Ada penduduk yang trauma dan tertekan. Bukan tidak reda atau bersyukur, namun keadaan yang sesak di PPS menyebabkan ada mangsa stres dan rimas. Mereka cuma berharap dapat berpindah dalam masa terdekat dan merancang hala tuju seterusnya selepas ini.

Tragedi sudah pun berlaku. Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan yang mungkin mengambil masa kerana melibatkan aspek teknikal.

Usah kita bertelagah di media sosial menuding jari, sebaliknya salur kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berkaitan. Komen berbaur sindiran dan tuduhan tanpa asas ini silap hari bulan boleh memakan diri sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN