VELOCITY dan menari sambil meminta duit raya, trend ini mula tular di media sosial terutama di TikTok sejak 1 Syawal lalu.
Tidak kira usia, daripada kanak-kanak sehingga orang tua masing-masing dilihat asyik menari tidak mahu ketinggalan dan mengikut trend bersama saudara mara di kampung. Barangkali duit raya yang diperolehi banyak, setimpal dengan tarian.
Lebih membuatkan si pelaku teruja adalah aksi dilakukan disambut dengan sorakan dan hilai tawa mereka menonton.
Bagaimanapun, trend ini menyaksikan perdebatan ramai termasuk para agamawan dan ilmuwan yang memberikan pelbagai pandangan.
Selain malu, ada yang mengatakan ia mampu menjatuhkan maruah dan tidak sesuai dilakukan para wanita termasuk remaja Islam selain tidak kurang juga boleh jatuh haram.
Bagi yang menari, dakwa mereka ia dilakukan hanya sekadar suka-suka mengikut trend semasa selain dilakukan bagi menceriakan suasana pagi raya.
Semuanya atas pilihan sendiri, memuat naik di media sosial dan menjadi tontonan awam juga atas usaha serta keputusan sendiri.
Pelbagai teori menunjukkan dari mana datangnya tarian ini, namun apa yang nyata kita telah mengikut mereka.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman sebelum ini memaklumkan, kegembiraan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan batasan yang ditetapkan Islam.
Malah katanya, Islam tidak melarang hiburan tetapi ia mesti berpandukan adab, akhlak dan jati diri seorang Muslim.
Jelas Mohd. Sukki, semua pihak perlu sedar, hari raya adalah hari kemenangan dalam Islam bukan sekadar masa untuk hiburan.
Sebenarnya kita sudah ada cara kita sendiri sejak dahulu lagi. Didikan datuk, nenek, ibu dan ayah sejak dari kecil lebih manis.
Berpakaian cantik di pagi Syawal dan memohon maaf dalam satu sesi penuh istimewa bersama keluarga.
Malah, kita sudah ada contoh yang baik, telah lama menjadi ikutan dan budaya ketika memberi dan menerima duit raya. Lebih sopan dan teratur, duduk berlutut bersalaman memohon kemaafan.
Lebih menusuk kalbu apabila air mata berjujuran. Tahun ini media sosial seolah-olah sepi dengan perkongsian video sesi bersalaman penuh syahdu, menangis kerana penuh dengan tarian dan trend velocity.
Selepas sesi bermaafan, kita akan ke acara pemberian duit raya, penuh adab si penerima dan pemberi, diselitkan dengan lawak jenaka dan teka teki.
Duit raya tetap diberi kerana ia salah satu sedekah bagi yang berkemampuan, tiada paksaan.
Sungguh indah. Tanpa tarian minta duit, raya kita tetap menjadi dan bermakna. -KOSMO! ONLINE














