BAGI mereka yang bersukan dan menjalani gaya hidup aktif, golongan ini semestinya terdedah kepada risiko kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Kecederaan itu juga kerap menghantui atlet hingga mampu menjejaskan prestasi mereka di lapangan, meskipun telah menjalani pembedahan rekonstruksi ligamen ACL.
Malah, ada pesakit yang telah menjalani pembedahan masih berasa tidak stabil kerana geraf yang dimasukkan menggunakan kaedah biasa tidak begitu kukuh atau longgar.
Oleh itu, sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghasilkan inovasi geraf gantian ligamen krusiat anterior (ACL) dan posterior (PCL) yang dikenali sebagai Modified UKM Internal Brace (MUIB).
Ia terbukti berkesan membantu pesakit kembali aktif dalam sukan selepas pembedahan rekonstruksi ligamen.
Ketua penyelidik, Prof. Madya Datuk Dr. Badrul Akmal Hisham Md. Yusoff berkata, lebih 300 pesakit yang kebanyakannya terdiri daripada atlet sukan dan individu yang menjalani gaya hidup aktif telah menjalani prosedur itu.
Ujarnya, golongan tersebut mengakui dapat merasakan kestabilan pada lutut selepas menggunakan MUIB.
Menurutnya, keberkesanan prosedur itu telah memberi tahap keyakinan optimum kepada pesakit, sekali gus membolehkan mereka kembali aktif dan mencapai prestasi seperti sediakala sebelum mengalami kecederaan ACL.
“Rawatan untuk pembedahan ACL di Malaysia memang sudah ada, namun kami membantu menghasilkan inovasi dari segi penyediaan geraf gantian untuk ACL yang tercedera. Jika ligamen koyak, kita tidak boleh jahit sahaja tetapi perlu rekonstruksi.
“Jadi, kita perlu menggunakan ligamen dengan pendakap dalaman,” katanya.
Dia ditemu bual media selepas majlis pelancaran hak perlesenan inovasi MUIB kepada KL Orthosports Sdn. Bhd. di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, inovasi tersebut telah digunakan sejak 2018 dan ia berbeza dengan kaedah lain yang terdapat di pasaran ketika ini.
Malah, inovasi itu masih belum dipatenkan di seluruh dunia dan ia telah disahkan oleh pihak UKM sendiri.
Inovasi itu juga telah dihantar untuk dipatenkan.
Dr. Badrul yang juga merupakan Pengarah Eksekutif KL Orthosports Sdn. Bhd. berkata, MUIB merupakan satu teknik, namun geraf gantian ligamen untuk pembedahan itu perlu diambil daripada pesakit sendiri.
“Dengan teknik MUIB, ia menjadikan geraf lebih kukuh berbanding geraf biasa.
“Kita juga dapati, melalui teknik ini, pemulihan pesakit lebih cepat dan kekuatan ligamen menjadi seperti normal kembali,” jelasnya.
Untuk makluman, melalui teknik MUIB, geraf menjadi lebih tahan lasak kerana dimasukkan internal brace (pendakap dalaman).
Dengan adanya internal brace ini, ia mampu memberi keanjalan kepada geraf, seterusnya dapat menguatkan dan menjadikan geraf lebih kukuh serta tidak longgar.
Selain itu, pembedahan menggunakan kaedah MUIB melalui allograf hanya mengambil masa kira-kira 45 minit berbanding kaedah konvensional selama dua jam.
Bagi tempoh pemulihan pula, pesakit boleh berjalan tanpa bantuan tongkat seawal empat minggu (satu bulan).
Kalau pembedahan biasa, ia mengambil masa selama dua hingga tiga bulan untuk pesakit bergerak tanpa menggunakan tongkat.
Dalam pada itu, MUIB yang merupakan inovasi syarikat pemula UKM iaitu KL Orthosports Sdn. Bhd. (KL Orthosport) telah memperoleh hak perlesenan inovasi milik UKM, sekali gus membolehkan ia dikomersialkan dan dimanfaatkan secara meluas.
Inovasi yang sedang melalui proses paten di MyIPO itu adalah hasil kajian klinikal selama lebih tujuh tahun oleh pasukan KL Orthosports.
Pasukan penyelidik inovasi berkenaan disertai oleh pakar bedah ortopedik khusus dalam pembedahan arthroskopi dan trauma sukan, Dr. Ahmad Farihan Mohd. Don, Dr. Karbela Reza Ramlan dan Dr. Mohamed Razzan Rameez; pakar perubatan sukan, Dr. Norlelawati Mohamad; ketua fisioterapis sukan, Efri Noor Muhamad Hendri serta Prof. Dr. Zainuddin Sajuri daripada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM.

Dr. Badrul berkata, pembedahan rekonstruksi ligamen lutut ACL yang pertama di dunia dilaksanakan pada tahun 1980 di Universiti Cambridge, United Kingdom oleh Dr. David Dandy.
“Pada mulanya, pesakit yang melalui pembedahan akan kembali pulih dan aktif, namun geraf ligamen yang digunakan bagi menggantikan ACL oleh Dr. Dandy telah terputus semula akibat penggunaan ligamen sintetik.
“Ini adalah sesuatu yang normal dalam sesebuah kajian atau inovasi.
“Kini, pembedahan ACL melalui evolusi dari segi teknik, alat implant serta jenis geraf yang digunakan.
“Terbaharu, UKM dan Malaysia akan termaktub dalam lipatan sejarah evolusi ini dan kita telah menjalankan pembedahan rekonstruksi ligament ACL serta PCL kepada lebih 350 pesakit sejak 2018.
“Hasilnya adalah amat memberangsangkan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan menerbitkan kajian klinikal di jurnal berwasit serta mendapatkan perkongsian pengalaman para pesakit yang telah menjalani pembedahan ACL menggunakan geraf teknik MUIB.
Dengan pemberian hak perlesenan inovasi MUIB, KL Orthosports akan lebih fokus dalam memperkenalkan MUIB dan teknik pembedahan ACL kepada pakar-pakar bedah di Malaysia dan antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak berkata, perjalanan ke detik penting itu adalah satu komitmen yang tidak berbelah bahagi, usaha tanpa jemu dan penyelidikan ekstensif.
Menurutnya, di UKM, pihaknya sentiasa percaya kepada kuasa inovasi untuk mengubah kehidupan, dan kepercayaan ini telah mendorong mereka untuk meneroka sempadan baharu dalam teknologi perubatan.
“Inovasi MUIB adalah bukti kepada etos, ia mewakili gabungan penyelidikan termaju dan pemikiran berwawasan.
“MUIB adalah kemajuan revolusionari dalam bidang pembedahan ortopedik.
“Direka bentuk untuk menangani cabaran berkaitan dengan kecederaan ACL dan ligamen PCL.
“Teknologi perintis ini menawarkan pendekatan baharu untuk pembaikan dan pembinaan semula ligamen,” katanya.
Ujarnya, sifat unik MUIB membolehkan kesesuaian dan sokongan optimum, sekali gus meningkatkan hasil dengan ketara dan mengurangkan masa pemulihan.
Inovasi yang luar biasa itu adalah hasil usaha kolaboratif antara penyelidik, para doktor berdedikasi dan rakan kongsi yang berfikiran ke hadapan.
Ia adalah contoh cemerlang tentang apa yang boleh dicapai apabila minda daripada pelbagai disiplin bersatu dengan visi dikongsi bersama.
Mengulas lanjut, Dr. Mohamad berkata, pelesenan pengkomersialan MUIB kepada KL Orthosports menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam misi UKM dan negara untuk menterjemah penyelidikan kepada masyarakat.
“Hasil kerjasama dengan syarikat yang dinamik dan inovatif seperti KL Orthosports dan Evo Med Sdn. Bhd. (Evo Med), kami akan pastikan teknologi ini sampai ke tangan pengamal mahir.
“Akhirnya, para pesakit berpeluang mendapat manfaat daripadanya.
“Malah, KL Orthosports mempunyai rekod prestasi yang terbukti cemerlang dalam bidang penyelesaian ortopedik.
“Komitmen mereka untuk memajukan teknologi perubatan adalah sejajar dengan nilai dan aspirasi kami,” jelasnya.
Tambahnya, dia yakin kerjasama itu bukan sahaja akan memacu kejayaan pengkomersilan MUIB, malah memupuk budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan.
Kejayaan pengkomersilan MUIB adalah bukti potensi perkongsian akademik dan industri untuk memacu perubahan bermakna.
Ia menggariskan kepentingan merapatkan jurang antara penyelidikan dan aplikasi dunia sebenar, sekali gus memberi kesan yang ketara dan positif kepada masyarakat.
Mengulas lanjut, Dr. Mohamad berkata, SME Corp. melalui Program Ekosistem Inklusif Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah memilih KL Orthosports dalam bahagian Model Inovator-Usahawan dan Model Harta Intelek.
Ia bagi membantu memperkemaskan lagi aktiviti perlindungan harta intelek, pengeluaran prototaip serta urusan pensijilan kepatuhan dan kawal selia.
Usaha itu adalah sangat penting di peringkat permulaan sesebuah syarikat yang potensinya telah dikenal pasti.
“Hari ini, kami berada di ambang era baharu dalam penjagaan ortopedik.
“MUIB memberi harapan kepada ramai pesakit yang mengalami kecederaan ligamen dengan menawarkan peluang untuk pemulihan lebih cepat dan berkesan.
“Ia adalah simbol komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia melalui inovasi serta kerjasama,” ujarnya.















