fbpx
Tarian budaya asing (gambar kecil) dan trend berjoget sebelum menerima duit raya tular ketika Aidilfitri baru-baru ini.

Orang tua, orang muda berjoget ambil duit raya cemar maruah Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Umat Islam dinasihatkan agar menjaga adab dan maruah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri khususnya dalam mengikuti trend berjoget sebelum menerima duit raya yang kini tular di media sosial.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman me­negaskan bahawa kegembiraan tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan batasan yang ditetapkan oleh Islam.

“Islam tidak melarang hiburan, tetapi ia mesti berpandukan adab, akhlak dan jati diri seorang Muslim.

“Trend menari secara terbuka, dirakam dan dikongsi di media sosial boleh mencemarkan maruah, terutama bagi wanita dan remaja Islam,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Mohd. Sukki, sifat malu adalah sebahagian daripada iman, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, namun malangnya, budaya popular masa kini semakin menghakis nilai malu dalam masyarakat.

“Saya nasihatkan umat Islam, terutamanya anak muda dan kaum wanita, agar menjaga nilai diri, akhlak Islam, serta kehormatan peribadi. Jangan terlalu ikut arus trend media sosial sehingga hilang pedoman.

“Raya tetap boleh meriah. Tapi biarlah meriah dengan cara Islam yang tenang, sopan dan diberkati,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Sukki turut menzahirkan kebimbangan terhadap trend meniru tarian daripada budaya asing, khususnya yang ada kaitan dengan musuh Islam.

“Kita perlu sedar bahawa hari raya adalah hari kemenangan Islam, bukan sekadar masa untuk hiburan.

“Mengikut rentak tarian tradisi Yahudi seperti hora dan mayim mayim dalam majlis-majlis Islam adalah sesuatu yang perlu dielakkan,” tegasnya.

Katanya, mengapa sebahagian umat Islam begitu mudah meniru budaya luar tanpa menyedari implikasi di sebaliknya.

“Sedang saudara kita di Gaza bermandi darah, bagaimana kita boleh menari dengan gaya mereka yang menindas umat Islam?,” katanya.

Selain itu, katanya, antara trend lain yang turut membimbangkan ialah pengaruh ta­rian moden Barat (velocity) yang rancak dan berlatar muzik kuat dalam majlis-majlis Islam terutama ketika hari raya.

“Umat Islam diseru agar kembali kepada hiburan yang selari dengan nilai Islam, seperti kompang, marhaban, silat, nasyid dan pantun.

“Jangan kita leka dengan trend media sosial hingga tergadai identiti kita sebagai umat Islam. Bergembiralah, tetapi biarlah dengan cara Islam yang lebih mulia dan diberkati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN