PUTRAJAYA – “Suasana ketika itu huru-hara, seperti berlaku gempa bumi, saya hanya fikir mati ketika lari ke dalam hutan”.
Demikian perkongsian salah seorang mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong, pada Selasa lalu, Norshatirah Salleh, 30, ketika ditemui Kosmo! di Hospital Putrajaya di sini semalam
Menurut Norshatirah, ketika kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, dia sedang tidur dan berada seorang diri di rumah sebelum terdengar bunyi benda jatuh di atas bumbung dan terasa seolah-olah berlaku bencana seperti puting beliung.
“Bila terdengar jeritan jiran cakap ada api dan saya tidak fikir apa-apa serta terus lari keluar dan sempat membawa telefon serta capai tuala ganti tudung.
“Bahang api kebakaran itu sangat panas hingga belakang badan dan tangan saya melecur teruk,” katanya.
Cerita wanita itu, dia berlari sejauh 1 kilometer dalam keadaan kaki melecur sebelum diselamatkan orang kampung.
Pada masa sama, Norshatirah bersyukur kerana suaminya, Mohd. Ibrahim Hanif Saidun, 34, dan dua anaknya berusia 5 tahun dan 2 tahun masih berada di kampung di Kedah ketika kejadian.
“Kalaulah anak-anak ada bersama, saya tak dapat gambarkan bagaimana nak dukung bawa lari mereka,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Loo Yoke Chen, 46, turut menyifatkan situasi ketika itu seperti medan perang apabila batu dan tanah beterbangan di kawasan rumah mereka.
Dia sekeluarga bersama anak, Ashley Loo Ann Ling, 17, serta ibu, Khoo Poh Lian, 77, dan bapa, Loo Fook Foh, 78, terus melarikan diri kerana rumahnya paling dekat dengan kawasan letupan itu iaitu rumah kedua dalam deretan kediaman di situ.
“Rumah bergegar ketika saya tengah tidur, ingat berlaku gempa bumi. Saya lihat melalui tingkap debu dan batu berterbangan.
“Saya tak fikir panjang, terus keluar rumah sehelai sepinggang. Saya risaukan keselamatan ibu dan bapa yang sudah tua. Mujurlah ada jiran-jiran membantu selamatkan kami.
“Belakang badan kami melecur termasuk tangan dan kaki. Kami bimbang selepas ini di mana nak tinggal. Tiada yang tinggal,” katanya.
















