SUBANG JAYA – Polis mengesahkan terdapat kerja-kerja pengorekan tanah sebelum kejadian kebakaran dan letupan di saluran paip gas milik Petronas pada Selasa lalu yang mengakibatkan lebih 100 orang cedera dan sebahagian lain dirawat di unit rawatan rapi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja-kerja itu dilakukan untuk menggantikan paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari pusat letupan.
Katanya, siasatan awal mendapati kontraktor dan pekerja yang ditugaskan telah menggunakan dua jentera iaitu jentolak dan jengkaut sebelum berhenti pada 30 Mac lalu.
“Siasatan polis mengesahkan terdapat satu aktiviti korek tanah berlaku sebelum kejadian untuk menggantikan paip kumbahan. Kita telah mengenal pasti pemaju, kontraktor dan pekerja terlibat.
“Salah satu jentera iaitu jengkaut turut terbenam dalam lubang yang terhasil tersebut. Kita sedang menjalankan siasatan lanjut adakah kerja-kerja pengorekan itu telah menyebabkan letupan yang amat besar tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. – KOSMO! ONLINE














