SUBANG JAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggerakkan pasukan bantuan segera susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, pada Selasa lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beberapa langkah pantas telah diambil termasuk manghantar pasukan perubatan, psikologi dan sukarelawan dari institusi pengajian tinggi (IPT) ke lokasi kejadian.
“Bagi pihak KPT, kita merakamkan rasa sedih atas apa yang berlaku. Kita telah menghantar satu pasukan khas dari kementerian dengan segera.
“Pasukan pertama terdiri daripada pakar perubatan universiti yang mempunyai hospital pengajar seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Tambah Zambry, pasukan kedua melibatkan pakar psikologi dan kaunselor yang bertugas memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada mangsa yang mengalami trauma, termasuk kanak-kanak.
“Bantuan ini juga dilaksanakan dengan kerjasama jabatan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya
Selain itu, KPT turut menghantar pasukan sukarelawan daripada inisiatif Siswa Madani yang terdiri daripada pelajar pelbagai universiti di seluruh negara, termasuk tiga wakil dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Ini adalah hasil pembinaan pasukan kesiapsiagaan yang telah lama kita latih dalam kalangan mahasiswa. Bila berlaku kecemasan, mereka bersedia turun padang membantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE