HULU TERENGGANU – Seorang ibu tunggal anak lapan tidak menang tangan menyiapkan tempahan ketupat palas dan tapai pulut daripada pelanggan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka esok.
Noriani Mohd. Nawi, 50, yang juga guru tadika berkata, semua tempahan 10,000 biji ketupat palas dan 5,000 bungkus tapai pulut tersebut disiapkan dia bersendirian dengan bantuan anak-anak.
“Rezeki saya murah menjelang Syawal dan telah mula mengambil tempahan membuat ketupat palas dan tapai pulut sejak 10 tahun lalu.
“Selain 10,000 biji ketupat palas dan 5,000 bungkus tapai pulut untuk sambutan raya, saya juga turut menerima tempahan lain untuk majlis rumah terbuka sepanjang bulan Syawal nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Setengge, di sini semalam.
Noriani berkata, dia telah membuat persediaan sejak awal Ramadan lagi untuk menyiapkan tempahan ketupat palas dan tapai pulut yang diterimanya.
Katanya, bagi menjimatkan kos dia sanggup masuk ke dalam kebun dan hutan berhampiran bagi mencari sendiri bekalan daun palas dan daun pokok getah.
“Saya sudah biasa cari sendiri daun palas dan daun getah di dalam hutan. Pernah juga terdengar bunyi babi hutan dan ternampak kesan cakaran beruang matahari tetapi saya tawakal demi kelangsungan hidup.
“Minggu terakhir Ramadan saya selalunya akan bersengkang mata menyiapkan tempahan pelanggan,” katanya.
Noriani berkata, kemahiran menganyam ketupat palas dan membuat tapai pulut dipelajari daripada arwah ibunya.
Katanya, sebiji ketupat palas dijual pada harga antara 80 sen dan RM1 mengikut jenis, manakala tapai pulut berharga RM40 sekilogram.
“Anak-anak saya berusia antara 10 hingga 26 tahun turut membantu terutama bagi proses membungkus ketupat palas dan tapai pulut.
“Alhamdulillah rezeki ini bolehlah saya menyara anak-anak terutama tiga orang berusia 10, 13 dan 18 tahun yang masih bersekolah,” katanya.
















