SEREMBAN – Pusat Perniagaan Nilai 3 yang sebelum ini suram ekoran tidak lagi menarik minat orang ramai untuk datang membeli-belah kini kembali meriah dengan kehadiran pengunjung.
Tinjauan yang dibuat di kawasan berkenaan mendapati, orang ramai mula mengunjungi pusat perniagaan itu bagi mendapatkan barangan kelengkapan rumah termasuk permaidani dan pinggan mangkuk serta peralatan dapur untuk digunakan ketika menyambut Aidilfitri nanti.
Situasi ini memberikan kelegaan dan kegembiraan buat para peniaga untuk terus beroperasi di situ.
Sebelum ini, ramai peniaga mengeluh kerana kedai mereka lengang tanpa kehadiran pelanggan.
Seorang pengunjung dari Bangi, Selangor, Azzamri Jefri, 36, berkata, Nilai 3 menjadi pilihan keluarganya untuk mendapatkan barangan keperluan rumah, lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
“Kebetulan isteri mahu mencari bekas kuih raya dan kami terus ke sini kerana terdapat banyak pilihan yang ditawarkan penjual. Lagipun harga ditawarkan murah.
“Alhamdulillah, ramai pengunjung mula datang ke sini semula dan saya lihat mereka sibuk memilih barangan kelengkapan raya,” katanya.
Pengunjung dari Shah Alam, Selangor, Rahmah Mutalib, 45, pula berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk datang ke Nilai 3 setiap kali musim perayaan.
“Kali ini saya membeli permaidani, set pinggan mangkuk, cawan dan set kelengkapan rumah lain kerana harga ditawarkan amat berpatutan.
“Rambang mata juga apabila melihat semuanya cantik-cantik,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Pusat Perniagaan Nilai 3, Datuk Wong Ah San berkata, dia yakin Pusat Perniagaan Nilai 3 akan kembali meriah seperti sebelum ini.
“Antara perancangan dibuat untuk mengembalikan kegemilangan Nilai 3 adalah pembangunan semula Nilai 3 Streetmall secara komprehensif,” katanya.
















