SYARIKAT pendidikan korporat dan latihan, OE Academy (OE EduGroup) sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila 18 alumninya menerima pengiktirafan berprestij dalam kerjaya masing-masing baru-baru ini.
Kesemua alumni tersebut menerima anugerah dalam kategori masing-masing pada Star Outstanding Business Awards (SOBA) edisi ke-15 yang berlangsung pada hujung bulan lalu.
Pengerusinya, Datuk Wira Dr. Calvin Khiu berkata, pada tahun ini, alumni OE EduGroup sekali lagi membuktikan kehebatan dengan meraih pelbagai anugerah, sekali gus mencerminkan kekuatan perniagaan, semangat inovasi dan kepimpinan luar biasa dalam industri masing-masing.
“Melihat alumni kita terus maju dan mencapai kejayaan cemerlang dalam dunia perniagaan, ia merupakan satu kebanggaan bagi saya sebagai pengasas akademi ini.
“Misi kita sentiasa untuk berkongsi ilmu praktikal yang bernilai tinggi kepada semua pelajar yang percaya kepada akademi ini agar mereka dapat mengelak daripada melakukan kesilapan yang tidak perlu.
“Kejayaan mereka (alumni) pada hari ini bukan sahaja kebanggaan peribadi, tetapi juga bukti keberkesanan falsafah dan pendekatan pengajaran akademi kami,” katanya.
Tambahnya, anugerah tersebut bukan sekadar pengiktirafan, malah bukti usaha gigih mereka tanpa jemu selama ini.
“Saya yakin, alumni yang telah memenangi anugerah ini akan terus bersinar dan memberi impak positif kepada dunia perniagaan di Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai keunikan dan kelebihan yang ada pada setiap alumni OE Academy sehingga melayakkan mereka mencipta pelbagai kejayaan, Calvin menyatakan ia adalah hasil usaha gigih dan semangat inovasi dalam menjalankan perniagaan tanpa kenal erti putus asa.
“Ia bukan kali pertama kami mencatatkan rekod dan kejayaan mega seperti ini.
“Pada SOBA tahun-tahun yang lalu, ramai alumni kami yang telah memenangi anugerah bagi kategori masing-masing.
“Malah dalam lima tahun kebelakangan ini, purata setiap tahun terdapat lebih 15 alumni kami meraih anugerah itu,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan dan pelan jangka panjang, Calvin memberitahu, OE Academy akan terus berpegang kepada misi berasaskan insan dan pendidikan sebagai keutamaan.
Ia termasuk berkongsi pengetahuan praktikal yang bernilai tinggi dan inovatif kepada semua pelajar yang percaya kepada akademi tersebut.
“Kami menggalakkan pelajar untuk mencabar diri mereka dengan menyertai pertandingan berprestij dan adil.
“Hal ini kerana melalui cabaran yang dihadapi dalam pelbagai industri, mereka dapat melihat kekurangan dan berpeluang untuk belajar serta berkembang.
“Besar harapan saya agar alumni kami akan terus bersinar dan memberi impak positif kepada dunia perniagaan di Malaysia pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam tempoh ke hadapan, OE Academy merancang memperkenalkan kursus latihan sistematik, bekerjasama dengan syarikat terkemuka, selain menyediakan peluang pertukaran antarabangsa bagi membantu lebih ramai usahawan serta pemilik perniagaan mencapai kejayaan dalam pasaran kompetitif.














