Saya cukup bertuah kerana tinggal berhampiran dengan lubuk ikan kerandang yang masih terpelihara di Sungai Nerus, iaitu salah satu cabang Sungai Terengganu. Di sini, habitat dan populasi kerandang masih lagi terjaga dan menghiburkan pemancing yang memburunya.
Saya selalunya turun memancing kerandang pada hari Jumaat atau Sabtu kerana ia adalah hari hujung minggu di Terengganu. Kebiasaannya, trip adalah balik hari sahaja kerana lokasi yang dekat. Saya biasanya akan turun memancing sama ada menebing atau menggunakan bot.
Boating
Bot saya akan sewa di jeti Batu Hampar di Kampung Telemong. Bot bersaiz 13 kaki panjang dengan enjin sangkut 15 kuasa kuda sesuai untuk dua hingga tiga orang pemancing.
Dari jeti, kami biasanya akan menyusuri sungai masuk ke Sungai Nerus. Perjalanan secara santai mengambil masa 45 minit juga, sebelum boleh mencari kerandang di kawasan bersamai yang banyak terdapat di tebing.
Jika tiada sebarang sambaran, perjalanan dilanjutkan sehinggalah bertemu dengan habitat kerandang yang berupa kawasan berstruktur di tebing dengan pohonan pokok merimbun dan merendang.
Pendek kata, ia adalah lokasi terbaik bagi pemancing yang masih belum mendapatkan lesen kerandang lagi.
Waktu dan lokasi
Waktu terbaik untuk memburu kerandang di sungai ini adalah semasa air surut. Ini kerana, pada masa tersebut, paras air yang yang rendah dan air cetek akan menyerlahkan kawasan berstruktur yang menjadi habitat kerandang.

Kebiasaannya, kerandang hanya akan mundar-mandir rapat ke tebing. Sangat jarang saya jumpa kerandang duduk di kawasan terbuka atau di tengah sungai. Ini berkemungkinan disebabkan kehadiran ikan-ikan pemangsa lainnya seperti toman, sebarau dan tapah yang boleh menggugat keharmonian kehidupannya.
Kumpulan anak kerandang
Kalau dulu senang untuk target kerandang yang membawa anak, tidak seperti toman yang kumpulan anak-anaknya kelihatan besar semasa ia menimbul. Bagi kerandang pula, saiz kumpulan anak-anaknya menimbul hanyalah sebesar tapak tangan dengan saiz anak-anaknya lebih kecil daripada sebatang mancis.
Ikan ini juga tidak kerap menimbul setelah tenggelam dan ia akan mengambil masa yang lama untuk timbul semula. Jadi, anda perlu sepasang mata yang amat tajam meneliti segenap inci kawasan yang dijangkakan ia akan menimbul.
Biasanya, induk kerandang jarang menolak jika gewang disuakan terus kepada kumpulan anak-anaknya.
Namun, sekarang payah hendak jumpa kumpulan anak-anak kerandang menimbul lagi, mungkin atas tekanan memancing yang tinggi. Sebab itulah, saya lebih suka mengaplikasikan teknik lontaran gewang secara rawak (blindcast) sahaja ke setiap lokasi bereba yang dirasakan berpotensi ada kerandang menginap.
Kerandang biasanya ada sarangnya sendiri, biasanya di sungai ini, ia adalah seÂperti lubang-lubang yang terdapat di pangkal pokok yang berupa akar-akar pokok tenggelam. Kawasan sarangnya biasanya redup kerana terdapat kanopi yang berupa pohon merendang.
Ikan kerandang jarang keluar dari sarangnya, jadi anda haruslah melontarkan gewang betul-betul tepat ke dalam sarangÂnya. Kalau boleh betul-betul di hadapan mulutnya, barulah peratusan ia menerkam gewang menjadi tinggi.

Sekarang ini, jarang saya jumpa ia berpasangan kecuali yang membawa anak. Selalunya, saya jumpa ikan kerandang ini solo. Setelah gewang dilontar dan mendapat sapaan dan terus strike tetapi lucut, tidak perlu tunggu lagI.
Ini kerana, ikan tersebut sudah lari ke tempat lain dan jarang sekali ia sudi makan untuk kali kedua.
Ikan kerandang juga jenis menunggu gewang lalu di hadapan matanya, jarang berlaku kerandang mengejar gewang. Cara hendak mencarinya, jika dari bot, harus baling gewang biar sampai atas tebing.
Kemudian, tarik perlahan-lahan masuk ke dalam air seperti katak hendak turun ke sungai. Anggaran selepas tiga kaki dari tebing jika tiada sambaran, boleh karau balik gewang dengan laju, kemudian baling ke tempat lain.
Jika menebing, saya akan melontar gewang sama ada ke kiri atau ke kanan saya, rapat dengan tebing. Jika tiada sambaran, saya akan berpindah lokasi, tiada masalah ketika menebing kerana setiap lokasi diterjah menggunakan motosikal sahaja.
Sebab itu, perasaan takut gewang tersangkut atau tersasar perlu dibuang jauh-jauh. Prinsip saya, gewang harus sampai ke target, ikan dapat dikeluarkan atau tidak, jatuh nombor dua. Barulah objektif boleh tercapai.
Senjata memburu
Set pancing yang saya gunakan untuk memburu kerandang tidaklah terlalu kasar. Saya biasanya menggunakan joran panjang antara enam hingga tujuh kaki berkekuatan 6-17lb dan maksima 8-20lb. Kekili baitcaster memuatkan tali utama minima 30lb dan perambut 40lb.
Oleh kerana gewang perlu menerjah reba banat, gewang yang selalu saya gunakan adalah jenis katak getah (soft frog) kalis sangkut atau soft plastic pelbagai warna dengan saiz tujuh sentimeter. Ia dipersembahkan secara kalis sangkut dengan mata kail disorokkan di dalam badan soft plastic tersebut. Gewang akan dimainkan secara dicelupkan ke dalam reba dan celahan ranting kayu. Ikan kerandang sudah semakin sukar dijumpai di perairan liar ketika ini.
Harapan saya, amalkanlah setidak-tidakÂnya tangkapan terpilih (selected harvest) atau terbaik jika dapat amalkan tangkap dan lepas (catch and release) supaya anak cucu kita dapat merasai cabaran memburunya di kemudian hari.
















