fbpx

Syarikat pemborong minyak seleweng 16,380 liter diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung memeriksa lori yang diisi dengan diesel di sebuah syarikat di Pantai Remis semalam. - Foto IHSAN KPDN

LUMUT – Lebih 16,380 liter diesel bernilai RM192,208.80 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan di sebuah syarikat pemborong bahan api itu di Pantai Remis di sini pada pukul 3 pagi semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan menghasilkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 itu merupakan hasil maklumat risikan KPDN Perak selama seminggu ke atas syarikat tersebut.

Katanya, operasi yang dilaksanakan itu adalah inisiatif Kita Gempur melalui pelaksanaan Ops Tiris 2025 bagi memastikan tiada ketirisan barang kawalan.

“Tindakan bermula apabila penjejakan ke atas sebuah lori tangki telah membawa kepada penemuan sebuah tempat pelombongan pasir.

“Pasukan serbuan telah melakukan pemeriksaan dan mendapati premis adalah sebuah tempat melombong pasir silica dan mempunyai tempat menyimpan minyak diesel dengan permit menyimpan yang sah dengan had 15,000 liter,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, minyak diesel itu dipercayai digunakan untuk tujuan menggerakkan jentera berat bagi mengorek pasir di kawasan tersebut.

Katanya, siasatan lanjut ke atas dokumen jual beli mendapati syarikat pembekal telah menjual minyak diesel ini melebihi had yang dibenarkan di dalam permit menyimpan.

“Sehubungan itu, sebanyak 16,380 liter cecair disyaki minyak diesel yang ditemui di dalam tangki skid, tangki Intermediate Bulk Container (IBC) beserta sebuah lori tangki telah disita. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM192,208.80,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI