PONTIAN – Bekas pemain bola sepak kelab KL Rovers, Mohammad Gopi Rizqi terpaksa menjual air balang untuk meneruskan kehidupan selepas tidak menerima tunggakan gaji selama lapan bulan sejak Julai tahun lalu.
Gopi, 36, berkata, kehidupannya bersama isteri dan dua anak semakin tertekan selepas kehabisan simpanan sebelum mengambil keputusan berhijrah untuk menjual air balang di depan rumahnya di Kampung Api-Api di sini.
Katanya, selain menjual air mata kucing dan jagung, dia turut menjual kuih-muih termasuk popia carbonara.
“Saya tidak sangka gambar saya sedang berniaga tular di media sosial dan masih ada orang yang kenal.
“Sejak itu, ramai yang datang untuk bergambar dan mereka tidak sangka saya ada di Pontian. Mereka memberikan kata-kata semangat untuk saya terus tabah,” katanya.
Gopi memeluk Islam pada tahun 2020 sebelum berkahwin dengan Nor Hidayah dan dikurniakan dua anak berusia dua dan lima tahun.
Gopi yang bermain posisi sayap pernah menyarung jersi pasukan Sri Pahang FC sejak tahun 2010 hingga 2015, Selangor (2016), Johor Darul Ta’zim (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (2019) dan kembali semula ke Pahang pada tahun 2020.
Kali terakhir Gopi bermain untuk pasukan KL Rovers sebelum kontraknya tamat Februari lalu.














