JOHOR BAHRU – Kebab goreng daging hasil air tangan Ahmad Shukri Osman, 35, terus mencuri perhatian pelanggan di tapak penjaja Taman Rinting, Masai di sini sepanjang bulan Ramadan.
Bermula sebagai resipi turun-temurun daripada bapa saudaranya, Ahmad Shukri mula menjual kebab istimewa ini berada di Tingkatan Empat.
Kini, sudah tiga tahun dia berniaga secara tetap di tapak penjaja tersebut dan setiap hari jualannya laris hanya dalam tempoh tiga jam.
“Saya hanya jual kebab goreng ini pada bulan Ramadan, jadi pelanggan memang menunggu setiap tahun.
“Sejak pukul 4 petang, orang sudah mula beratur dan biasanya sebelum 7 malam, semuanya habis,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, Kebab Goreng Daging yang dijualnya menggunakan daging lembu berkualiti tinggi yang diperap dengan rempah terpilih.
Tambahnya, keunikkan kebab ini terletak pada tekstur rangup di luar tetapi lembut dan berempah di dalam yang dijual dengan harga RM6 bagi satu buku roti dan RM10 untuk pilihan kombo.
Dalam sehari, Ahmad Shukri mampu menjual sehingga 100 buku roti, membuktikan populariti hidangan istimewa ini.
“Walaupun ada permintaan untuk jual sepanjang tahun, saya mahu kekalkan tradisi ini sebagai juadah istimewa bulan Ramadan,” katanya.














