TIDAK perlu segan mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tatkala keadaan sudah terdesak.
Malu apa gunjingan seantero manusia hatta jiran, sahabat handai mahupun sanak saudara selagi kewangan diri dan keluarga terurus.
Seramai 238,000 penjawat awam juga telah mendapatkan perkhidmatan AKPK seperti didedahkan di Parlimen baru-baru ini.
Sejak penubuhan AKPK pada 2006, agensi berkenaan telah memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta individu.
Satu-satunya kos melepas sebaik menyertai AKPK adalah kesukaran memohon pembiayaan baharu daripada bank
Seperti semua sedia maklum, sebahagian rakyat menyertai program AKPK akibat hilang pekerjaan atau pendapatan berkurangan.
Hilang pekerjaan atau pengurangan pendapatan terkait dengan pelbagai faktor seperti ekonomi semasa dan perihal kesihatan.
Namun, ada juga yang memiliki penjawatan stabil, gaji terjamin setiap bulan dan bebas isu kesihatan akhirnya menekan butang lif ke pejabat AKPK.
Gara-gara lama terjebak dengan kos gaya hidup melebihi pendapatan demi dilihat ‘berjaya’ dan ‘sukses’ oleh mata masyarakat.
Golongan berkategorikan B40 mahu sekurang-kurangnya dilihat M40, manakala M40 berusaha supaya diri ‘disebut-sebut’ oleh rakan-rakan sebagai T20.
Pensyarah Kanan Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi sebelum ini pernah menjelaskan maksud kos gaya hidup.
Menurut beliau, kos gaya hidup berkaitan dengan perbelanjaan yang berkaitan cara hidup, pilihan dan perbelanjaan mengikut budi bicara individu atau isi rumah.
Ia termasuk kos pelbagai barangan dan aktiviti yang tidak penting atau mewah yang melangkaui keperluan asas.
Kos gaya hidup berbeza dengan kos sara hidup yang merujuk kepada perbelanjaan asas diperlukan untuk keperluan penting seperti perumahan dan makanan.
“Istilah kos sara hidup dan kos gaya hidup merujuk kepada aspek perbelanjaan dan pertimbangan kewangan yang berbeza.
“Dengan membezakan antara kos sara hidup dan kos gaya hidup, individu boleh mengurus kewangan mereka dengan lebih baik,” katanya.
Daripada satu sudut, lebih mulia mereka yang terjebak dengan kos gaya hidup ke AKPK daripada melakukan dosa demi mempertahankan hipkorasi reputasi.
Dosa-dosa kejahatan salah guna kuasa, menyeleweng, menipu, mencuri, pecah amanah, terlibat dalam rasuah atau merampas hak orang lain. Fikir-fikirkanlah.
















